Tamil Selvi bersama anak dan menantunya didakwa di Mahkamah Majistret Butterworth, Pulau Pinang hari ini.

BUTTERWORTH – Seorang pembantu rumah dihukum penjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mencuri tiga karton minuman keras di sebuah kedai serbaneka bersama anak dan menantunya, dua minggu lalu.

Tertuduh, Tamil Selvi, 50, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Tamil di hadapan Majistret Aini Adilah Muhammad Faizal.

Bagaimanapun, anak perempuannya, N. Tawamani, 23, dan menantunya, V. Thayaran, 26, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan sama dan memohon dibicarakan.

Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga mereka didakwa secara bersama-sama mencuri tiga karton minuman keras jenama Carlsberg bernilai RM431.40 milik sebuah kedai serbaneka.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara jam 8.11 malam hingga 8.17 malam pada 12 Jun 2026 di sebuah kedai serbaneka di PG Pangsapuri Oren 3, Jalan Pantai Bersih di sini.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Siti Nur Farihin Ahmad memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili Tamil Selvi memohon hukuman ringan dengan memaklumkan tertuduh bekerja sebagai pembantu rumah dengan pendapatan RM800 sebulan.

“Tertuduh juga sudah berkahwin dan menanggung tujuh individu termasuk seorang orang kurang upaya (OKU), selain pengakuan bersalah itu telah menjimatkan masa serta kos mahkamah,” katanya.

Sementara itu, peguam Y. Anbananthan yang mewakili Tawamani dan Thayaran memohon jaminan minimum bagi kedua-dua anak guamnya dengan alasan Thayaran hanya bekerja sebagai pekerja kilang dengan pendapatan RM1,500 sebulan manakala Tawamani merupakan suri rumah.

“Kita juga akan mengemukakan surat representasi kepada pihak pendakwaan memandangkan seorang daripada tertuduh telah mengaku bersalah,” katanya.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara empat bulan terhadap Tamil Selvi bermula dari tarikh tangkap.

Bagi Tawamani dan Thayaran, mahkamah membenarkan masing-masing diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin.

Kes akan disebut semula pada 27 Julai ini membabitkan kedua-dua tertuduh itu.

MalaysiaGazette difahamkan, keluarga berkenaan berasal dari Selatan dan dipercayai menyewa sebuah kenderaan untuk datang ke utara Semenanjung bagi mencuri minuman keras sebelum membawanya pulang ke selatan untuk dijual.

Mereka juga dikatakan mempunyai kaitan dengan beberapa kes curi minuman keras menggunakan modus operandi sama di daerah lain di negeri ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast