Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Arahan Melaksanakan Kawalan Penjualan Diesel Ke Atas Kenderaan Pengangkutan Darat bertarikh 27 Mac 2026 adalah dibatalkan sepenuhnya berkuat kuasa esok, 1 Julai 2026.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) berkata, pembatalan arahan tentang kuantiti jualan 50 liter, 100 liter dan 150 liter itu dibuat susulan pengumuman Perdana Menteri pada 21 Jun lalu berhubung penyeragaman harga diesel bersubsidi di bawah Program BUDI Diesel kepada RM2.10 seliter.

Ia juga bersempena pelaksanaan mekanisme baharu pembelian diesel bersubsidi menggunakan MyKad di stesen minyak bermula 1 Julai 2026.

“Sehubungan itu, semua pemegang lesen barang kawalan berjadual runcit yang menjual petrol atau diesel di negeri Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan adalah diminta mengambil maklum bahawa arahan kawalan penjualan diesel ke atas kenderaan pengangkutan darat tidak lagi berkuat kuasa mulai tarikh tersebut,” kata Ketua Pengarah Penguatkuasa KPDN, Datuk Azman Adam dalam satu kenyataan, malam ini.

Tambahnya,  KPDN yakin mekanisme baharu yang diperkenalkan oleh Kerajaan akan memastikan pengagihan diesel bersubsidi dilaksanakan secara lebih bersasar, cekap dan berkesan, di samping memudahkan urusan pengguna yang layak.

KPDN juga menyeru semua pihak supaya mematuhi sepenuhnya arahan dan mekanisme baharu yang telah ditetapkan bagi memastikan pelaksanaan berjalan lancar demi kepentingan rakyat dan negara. -MalaysiaGazette

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast