KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) memberi amaran kepada orang ramai supaya berwaspada terhadap cubaan penipuan oleh individu yang menyamar sebagai pegawai jabatan itu dengan menawarkan urusan perolehan kerja, pembekalan dan perkhidmatan yang sebenarnya tidak wujud.
Met Malaysia berkata, pihaknya menerima aduan berhubung kegiatan penipuan berkenaan dan menegaskan jabatan itu tidak pernah mengeluarkan sebarang permohonan atau tawaran berkaitan perolehan kerja, pembekalan atau perkhidmatan menerusi aplikasi media sosial seperti WhatsApp dan Telegram, mahupun melalui e-mel selain e-mel rasmi jabatan.
Dalam kenyataan hari ini, Met Malaysia berkata, pihaknya memandang serius perkara berkenaan dan telah membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dijalankan.
Sehubungan itu, orang ramai yang menjadi mangsa atau menerima permohonan mencurigakan menggunakan nama Met Malaysia disaran segera membuat laporan kepada pihak berkuasa bagi membantu siasatan.
Met Malaysia turut menjelaskan, semua urusan perolehannya hanya dilaksanakan melalui Sistem ePerolehan mengikut tatacara dan peraturan perolehan kerajaan yang berkuat kuasa.
Jabatan itu turut menasihatkan orang ramai, syarikat serta pembekal supaya sentiasa berwaspada dan membuat semakan terhadap kesahihan sebarang tawaran atau permohonan yang dikaitkan dengan MET Malaysia.
Sebarang pertanyaan atau pengesahan boleh dibuat dengan menghubungi Unit Perolehan MET Malaysia melalui saluran rasmi jabatan. – MalaysiaGazette
















