Dr Sathia Prakash Nadarajan

KLUANG – Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke 16 perlu menjadi medan demokrasi yang sihat, matang dan hormat antara satu sama lain terutama ketika berkempen.

Pengarah Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH) Selangor, Dr Sathia Prakash Nadarajan berkata, kempen seharusnya berteraskan fakta, dasar dan penyelesaian kepada masalah rakyat, bukannya dipenuhi fitnah, kebencian atau provokasi.

Jelasnya, ini termasuk tidak menyentuh isu 3R iaitu kaum, agama dan institusi diraja.

“Undang-undang serta semangat demokrasi yang menjadi tunjang negara perlu terus dihormati oleh semua pihak agar berpolitiksecara profesional, perbezaan pandangan adalah lumrah dalam demokrasi, namun adab, integriti dan sikap saling menghormati perlu sentiasa dipelihara.

“Dalam masa sama, saya menyeru anak-anak Johor di luar negeri atau bekerja di Singapura agar pulang menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi kerana setiap undi yang diberikan mempunyai nilai besar dalam menentukan hala tuju Johor untuk tahun-tahun akan datang,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, rakyat Johor wajar menilai rekod, prestasi, dasar dan kemampuan setiap calon serta parti secara matang.

Katanya, pertimbangkan juga kerjasama yang baik antara Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri yang mampu membawa lebih banyak pembangunan, pelaburan, peluang pekerjaan serta manfaat kepada rakyat Johor.

“Jangan mudah terperangkap dengan politik yang memainkan sentimen agama atau menyebarkan ketakutan, agama adalah asas yang sangat penting dalam kehidupan, namun ia tidak seharusnya disalahgunakan sebagai alat untuk memecah-belahkan masyarakat atau mengaburkan pertimbangan rakyat ketika membuat pilihan,” katanya.

Tambah Sathia Prakash, dalam era media sosial hari ini, setiap rakyat mempunyai tanggungjawab untuk menyemak kesahihan sesuatu maklumat sebelum mempercayai atau berkongsinya.

Ujarnya, berita palsu dan fitnah tidak seharusnya dibiarkan mempengaruhi keputusan yang akan menentukan masa depan negeri.

“Marilah kita bersama-sama membuktikan bahawa rakyat Johor mampu mengamalkan demokrasi yang matang, berhemah dan berasaskan fakta demi masa depan negeri yang lebih baik,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast