KUALA LUMPUR, 30 Jun – Tekanan kos yang semakin meningkat terus menjadi keutamaan perniagaan pada tahun 2026, dengan pengurusan tenaga muncul sebagai bidang tumpuan kritikal, menurut Kajian Tinjauan Perniagaan UOB 2026.
Kajian itu mendapati, walaupun sentimen perniagaan secara keseluruhan kekal positif, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mengambil pendekatan lebih berhati-hati berikutan ketidaktentuan ekonomi yang berterusan.
Menurut laporan berkenaan, sebanyak 77 peratus PKS mengekalkan tinjauan perniagaan yang positif bagi tahun ini.
Namun keyakinan dalam kalangan syarikat bersaiz lebih kecil adalah lebih sederhana.
Hampir tiga daripada 10 PKS pula terus berdepan tekanan akibat peningkatan kos operasi, kos tenaga kerja yang tinggi serta kenaikan kadar faedah, sekali gus mendorong peralihan kepada strategi pengurusan kos lebih ketat.
Kajian itu turut menunjukkan perniagaan semakin memberi tumpuan kepada pengurusan tenaga sebagai langkah praktikal menangani tekanan kos.
Kira-kira tiga daripada empat perniagaan menganggap kecekapan dan pengurusan tenaga sebagai penting, dengan 84 peratus dalam sektor pembuatan, kejuruteraan dan perindustrian meletakkan bidang itu sebagai keutamaan.
Antara keutamaan lain ialah mengurangkan penggunaan tenaga (48 peratus), menurunkan kos tenaga (44 peratus) serta memastikan bekalan tenaga stabil dan boleh dipercayai (40 peratus).
Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia, Ng Wei Wei berkata, tekanan kos termasuk tenaga dan bahan api terus memberi kesan kepada perniagaan, menjadikan pengurusan tenaga sebagai keutamaan praktikal khususnya bagi PKS sederhana yang lebih berupaya melaksanakan inisiatif kecekapan.
“Bagi syarikat lebih kecil, pelbagai kemudahan termasuk bantuan Bank Negara Malaysia membolehkan sokongan diberikan secara lebih praktikal bagi membantu mereka mengurus aliran tunai dan mengekalkan operasi,” katanya.
Kajian itu juga mendapati sekitar dua daripada lima perniagaan telah melaksanakan penggunaan panel solar serta pencahayaan LED cekap tenaga, didorong oleh penjimatan penggunaan tenaga yang ketara.
PKS turut menunjukkan minat yang meningkat terhadap penggunaan alat digital bagi meningkatkan kecekapan tenaga serta mengurangkan kos operasi.
Laporan berkenaan turut menekankan peralihan strategi perniagaan daripada pertumbuhan agresif kepada pendekatan berasaskan daya tahan. Pengurusan tenaga kini dilihat sebagai sebahagian daripada strategi pengurusan risiko yang lebih luas, termasuk kestabilan operasi dan kesinambungan rantaian bekalan.
Kajian Tinjauan Perniagaan UOB 2026 itu melibatkan tujuh pasaran iaitu Singapura, Indonesia, Malaysia, Thailand, Vietnam, Tanah Besar China dan Hong Kong SAR, serta akan dijalankan dua kali setahun mulai edisi ini. – MalaysiaGazette
















