Logo Kementerian Kesihatan Malaysia di Kementerian Kesihatan Malaysia, Tasik Perdana, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 06 FEBRUARI 2020.

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan capaian ke Portal Rasmi kementerian itu dihentikan sementara waktu bagi membolehkan pengukuhan kawalan keselamatan siber dilaksanakan.

KKM memaklumkan pihaknya sedang menjalankan siasatan serta tindakan pemulihan bersama agensi berkaitan dan perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

“Setakat ini, tiada petunjuk bahawa insiden berkenaan menjejaskan sistem kritikal atau mengakibatkan kebocoran data kritikal KKM.

“Sistem penyampaian perkhidmatan kesihatan KKM terus beroperasi seperti biasa dan dilindungi melalui infrastruktur berasingan dengan kawalan keselamatan siber yang ketat,” menurut kenyataan KKM hari ini.

KKM dalam pada itu memaklumkan portal berkenaan hanya digunakan bagi penyampaian maklumat korporat dan maklumat awam, serta tidak menyimpan rekod perubatan pesakit atau data kesihatan individu.

“KKM kekal komited memastikan keselamatan aset digital kementerian serta kelangsungan penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada rakyat,” menurut kenyataan itu.

Sabtu lepas, media melaporkan portal rasmi KKM mengalami gangguan akses dipercayai berpunca daripada insiden keselamatan siber.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast