Menteri Besar Johor yang juga calon BN N.26 Machap, Datuk Onn Hafiz Ghazali bergambar bersama pada Majlis Penyampaian Amanat Kepada Jentera Barisan Nasional Bahagian Batu Pahat sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 di Kampung Mengkudu, Rengit, Batu Pahat. Foto AIZAT ZAINAL, 30 JUN 2026.

BATU PAHAT – Datuk Onn Hafiz Ghazi menyifatkan kenyataan Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi yang mendakwa beliau mengelak berdebat serta menggesa pengundi Rengit menangguhkan sokongan kepada BN hanyalah pandangan peribadi dan tidak mencerminkan sentimen majoriti penduduk di kawasan itu.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor itu menegaskan, dakwaan Puad berhubung isu berkenaan tidak memberi kesan terhadap sokongan rakyat di Rengit yang masih bersama BN.

“Itu saya lihat pendapat peribadi beliau dan saya lihat di kawasan Rengit khususnya, apa yang beliau katakan majoriti di sini tak ikut pun,” katanya kepada media selepas Majlis Penyampaian Amanat Kepada Jentera BN Bahagian Batu Pahat, di sini, hari ini.

Hadir sama calon BN DUN Senggarang, Mohd Yusla Ismail, calon BN DUN Rengit, Zaidi Japar dan calon BN Penggaram, Boo Chin Liong.

Onn Hafiz Ghazali berucap pada Majlis Penyampaian Amanat Kepada Jentera Barisan Nasional Bahagian Batu Pahat sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 di Kampung Mengkudu, Rengit, Batu Pahat. Foto AIZAT ZAINAL, 30 JUN 2026.

Mengulas lanjut, Onn Hafiz berkata, beliau memahami perjuangan yang dibawa Puad, namun menegaskan perjuangan parti tidak seharusnya tertumpu kepada kepentingan mana-mana individu.

“Kita tahu apa yang dia nak perjuangkan ialah anak dia.
Namun begitu, perjuangan ini bukan tentang mana-mana individu. Dia nak serang saya, dia seranglah,” katanya.

Beliau turut memberi contoh sikap bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit, Datuk Ayub Jamil yang tidak pernah merajuk atau mengkritik parti walaupun tidak dicalonkan pada pilihan raya sebelum ini.

“YB Ayub dulu pun tak dicalonkan tetapi tidak merajuk. Dia ambil tempat YB Ayub, tetapi YB Ayub tak pernah pun keluar mengata-ngata.

“Sebab perjuangan ini bukan tentang mana-mana individu. Perjuangan ini adalah untuk parti dan lebih utama ialah untuk rakyat serta bangsa Johor,” tegasnya.

Mengulas status terbaharu Puad yang menggesa pengundi Rengit menangguhkan sokongan kepada BN susulan isu bekalan air dan ban, Onn Hafiz sekali lagi menegaskan, ia hanyalah pandangan peribadi.

“Itu pendapat peribadi beliau. Seperti yang awak lihat hari ini, di kanan saya semua menyokong Barisan Nasional.

“Jadi, saya anggap dia bawa isu-isu untuk menghasut dan orang Rengit tahu, ini bukan perjuangan untuk Puad Zarkashi, ini perjuangan untuk rakyat,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast