KUALA LUMPUR – Seramai 135 individu ditahan dalam operasi bersepadu membanteras pemandu kenderaan di bawah pengaruh dadah yang dilaksanakan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT).
Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali berkata, mereka yang dicekup melibatkan 121 pemandu lori dan 14 pemandu lain.
Tangkapan tersebut dilakukan antara April hingga Jun lalu, membabitkan 44 operasi khususnya di lebuh raya utama termasuk Lebuhraya Utara-Selatan dan Pantai Timur.
Operasi berkenaan memberi tumpuan kepada pemandu lori, treler, bas ekspres, bas pekerja, bas sekolah serta kenderaan membawa bahan berbahaya, termasuk pemeriksaan lesen vokasional (PSV dan GDL) serta dokumen syarikat.
“Dalam kalangan kes yang direkodkan, kebanyakannya melibatkan penggunaan bahan terlarang jenis methamphetamine,” katanya ketika sidang media di sini hari ini.
Daripada 135 individu yang ditahan, tindakan undang-undang telah diambil mengikut beberapa peruntukan termasuk Seksyen 3(1), Seksyen 12(2), Seksyen 15(1), Seksyen 39A serta Seksyen 6 di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.
Mengulas lanjut, beliau berkata, trend penyalahgunaan dadah dalam kalangan pemandu kenderaan perdagangan didapati semakin membimbangkan, khususnya melibatkan tempoh pemanduan yang panjang sehingga mendorong sebahagian pemandu mengambil bahan terlarang untuk kekal cergas.
Bagaimanapun, beliau menegaskan tindakan itu hanya memberi kesan jangka pendek tetapi meningkatkan risiko kemalangan dan mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain.
Beliau turut memberi amaran bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus mempergiat operasi bersepadu di seluruh negara dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pemandu yang didapati memandu di bawah pengaruh dadah. – MalaysiaGazette
















