KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) kini berada di hadapan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, namun persaingan masih terbuka dengan 31 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) masih dianggap mampu berubah berdasarkan sokongan pengundi yang belum membuat keputusan muktamad.
Menurut Unjuran Pilihan Raya Negeri Johor 2026 oleh Vodus Research, BN diunjurkan memperoleh 36 peratus undi, mengatasi Pakatan Harapan (PH) dengan 26 peratus dan Perikatan Nasional (PN) sebanyak 15 peratus.
Dapatan itu diperoleh menerusi kajian melibatkan 1,303 pengundi berdaftar di Johor yang dijalankan antara 15 hingga 29 Jun lalu.
Bagaimanapun, kajian itu mendapati hampir satu daripada tiga pengundi masih belum benar-benar yakin dengan pilihan mereka, sekali gus menjadikan persaingan menjelang hari pengundian masih terbuka.

Berdasarkan unjuran kerusi, BN kini mendahului di 20 kawasan DUN, merangkumi 17 kerusi yang dianggap selamat dan tiga kerusi marginal.
PH pula mendahului di satu kerusi marginal, manakala PN di tiga kerusi marginal.
Sebanyak 14 lagi kerusi menyaksikan persaingan sengit antara BN dan PH, manakala 17 kerusi masih belum dapat diramalkan pemenangnya.
Kajian itu turut menunjukkan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, mencatat kadar kebolehterimaan tertinggi sebanyak 58 peratus.
BN turut mendahului dari segi penilaian positif terhadap parti dengan 53 peratus, diikuti PH (46 peratus) dan PN (44 peratus).
Tahap kepercayaan terhadap kepimpinan Kerajaan Negeri Johor diterajui BN pula hampir menyamai tahap kepercayaan terhadap BN sendiri, masing-masing pada kadar 67 peratus dan 68 peratus, manakala kedua-duanya mencatat kadar ketidakpercayaan sebanyak 18 peratus.

Dalam pada itu, kajian mendapati hasrat keluar mengundi adalah tinggi apabila 87 peratus responden menyatakan mereka berkemungkinan atau sangat berkemungkinan menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.
Namun, hanya 69 peratus benar-benar yakin dengan pilihan parti mereka ketika ini, sekali gus menunjukkan 31 peratus lagi masih berpotensi mengubah keputusan.
Dalam kalangan penyokong yang telah mengisytiharkan pilihan, penyokong PN mencatat tahap keyakinan tertinggi terhadap pilihan mereka iaitu 78 peratus, diikuti BN (74 peratus) dan PH (72 peratus).
Sebaliknya, responden yang enggan mendedahkan pilihan parti didapati jauh lebih terbuka untuk mengubah pendirian.
Hanya 37 peratus daripada kumpulan itu menganggap pilihan mereka sudah muktamad, manakala 63 peratus lagi masih boleh berubah.

Bagi pengundi yang belum membuat keputusan, 85 peratus masih belum menetapkan parti pilihan.
Pengasas Vodus Research, Dr. Kelvin Goh berkata, walaupun BN kini berada di hadapan, jumlah keseluruhan undi hanya menggambarkan sebahagian daripada keadaan sebenar.
“Di kerusi-kerusi yang menyaksikan persaingan sengit, perubahan kecil dalam kalangan pengundi yang masih ragu-ragu atau enggan mendedahkan pilihan mereka mampu mengubah keputusan akhir dan agihan kerusi,” katanya.
Sementara itu, kos sara hidup kekal menjadi isu utama yang mempengaruhi pilihan pengundi.
Lebih separuh responden (53 peratus) meletakkan kos sara hidup sebagai antara tiga isu paling penting, manakala 31 peratus menyifatkannya sebagai isu paling utama.
Kajian itu mendapati kebimbangan terhadap kos sara hidup dikongsi secara konsisten oleh penyokong semua gabungan politik utama.
Secara keseluruhan, Vodus Research merumuskan BN memasuki fasa akhir kempen dengan kedudukan paling kukuh, namun persaingan masih belum berakhir memandangkan masih banyak kerusi yang sengit dan belum dapat diramalkan keputusannya. – MalaysiaGazette
















