Amir Syafiq dan ahli PSM dalam sidang akhbar berkenaan deklarasi harta dan ikrar anti-rasisme calon PSM di Pasar Awam Taman Ungku Tun Aminah, Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Calon tunggal Parti Sosialis Malaysia (PSM), Amir Syafiq Ameer Soekre hari ini mengisytiharkan harta, pendapatan dan perbelanjaan secara akuan berkanun mengikut Akta Akuan Berkanun 1960.

Beliau berusia 40 tahun yang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Skudai membuat pengisytiharan itu mengikut jejak 15 calon dari Parti Bersama Malaysia (Bersama) yang sebelum ini berbuat demikian.

“Kesemua anggaran berkaitan aset, hutang dan perbelanjaan saya adalah terkandung dalam mengisytiharan ini dibuat dengan usaha terbaik dan berdasarkan dokumen, rekod dan anggaran saya.

“Jika dipilih sebagai wakil calon DUN Skudai, selaras dengan perlembagaan PSM kami akan membuat pngisytiharan harta setahun sekali agar segala perbelanjaan lebih telus,” katanya yang juga Setiausaha Agung PSM Johor.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar berkenaan deklarasi harta dan ikrar anti-rasisme calon PSM di Pasar Awam Taman Ungku Tun Aminah di sini hari ini.

Katanya, deklarasi tang dilakukan hari ini juga adalah berikrar anti rasisme yang menjadi pendirian jelas PSM iaitu perjuangan parti tanpa mengira warna kulit atau memihak kepada kelas tertentu.

“PSM merupakan parti tulen amat progresif tentang perjuangan kelas dan sebarang tindak tanduk yang menindas, serta menolak sepenuhnya politik berasaskan perkauman,” katanya.

Amir Syafiq yang juga Graduan Teesside University di United Kingdom yakin mendapat sokongan pengundi di kawasan itu.

Katanya, sebelum ini PSM sudah bergerak aktif dengan kerja akar umbi yang dilakukan sekitar kawasan DUN terbabit sejak 20 tahun lalu.

“Antara yang disuarakan rakyat di sini adalah masalah infrastruktur termasuklah jalan raya kerana di sini kerap berlakunya kesesakan lalu lintas dan juga ada jalan-jalan berlubang.

“Saya juga ada jumpa seorang makcik yang kata sewa rumah di sini semakin mahal, dia pula kerja pembantu kedai sahaja jadi tak mampu jika harga sewa rumah pun semakin tinggi.

“Ini antara perkara yang kita cuba selesaikan nanti,” katanya.

Mengenai pertembungan empat penjuru yang dihadapinya di DUN Skudai, Amir Syafiq berkata, itu adalah persaingan sihat.

Ujarnya, keempat-empat calon termasuk dirinya adalah muka baharu dalam politik.

“Sebagai calon memang ini kali pertama saya bertanding, tetapi sebagai seorang aktivis, sudah lima tahun saya kita mendekati rakyat di Skudai, mengenal pasti masalah dan menyelesaikan masalah mereka.

“Rasanya, kita sudah ada kaedah-kaedah yang kita boleh laksanakan, nak berjumpa orang ini saya rasa tak ada masalah.

“Saya tengok calon lain pun muka baharu, jadi ini persaingan yang sihatlah. Cumanya, kita nampak peluang kita untuk menang apabila lihat apa yang sudah kita lakukan sebelum ini. Itu pengalaman untuk saya lebih ke hadapan. Biar rakyat menilai,” katanya.

Amir Syafiq mewakili PSM berentap dengan tiga calon lain bagi merebut kerusi DUN Skudai yang disandang Marina Ibrahim daripada Pakatan Harapan (PH).

Calon lain di DUN Skudai adalah calon Barisan Nasional (BN), Nicol@Ah Kee yang dipindahkan ke kawasan itu pada PRN kali ini; calon PH, Kartiyaini Jeyapalan dan calon Parti Bersama Malaysia (Bersama), Eugene Chua Meng Chong. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast