JOHOR BAHRU – Kesibukan berkempen tidak menghalang calon Pakatan Harapan (PH) DUN N.47 Kempas, Muhammad Faezuddin Mohd Puad daripada terus menyantuni pengundi meskipun mengalami sedikit gangguan kesihatan pada awal kempen.

Beliau berkata, keadaan kesihatannya kini semakin baik walaupun jadual kempen yang padat menyebabkan waktu rehat dan makan tidak menentu.

“Hari kedua saya ada mengalami sedikit gangguan kesihatan tetapi sekarang Alhamdulillah semakin okay.

“Dalam tempoh kempen memang perkara seperti rehat tidak cukup, makan tidak menentu dan tidur tidak lena itu perkara biasa kerana kita mahu memberikan komitmen sepenuhnya.

“Kalau boleh kita mahu bertemu seramai mungkin pengundi tanpa tertinggal walaupun satu kawasan. Kita berusaha memenuhi semua perancangan yang telah disusun,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di sini, hari ini.

Calon Pakatan Harapan (PH) Muhammad Faezuddin Mohd Puad beramah mesra dan bersarapan bersama pengundi di Kedai Sup Tulang Permatang, Kempas, Johor Bahru pagi ini.

Terdahulu Faezuddin bersarapan bersama pengundi di Kedai Sup Tulang Permatang di sini awal pagi tadi.

Dalam pada itu, Faezuddin menegaskan, jentera PH kekal bersemangat dan komited meneruskan kempen sehingga tamat tempoh berkempen pada 10 Julai.

Menurut beliau, walaupun kempen kini memasuki hari kelima, semangat jentera PH masih utuh dan tidak menunjukkan sebarang tanda keletihan.

“Kita masih lagi all out sampai sekarang, masih lagi bersemangat. Momentum ini akan kita kekalkan sehingga penghujung kempen pada 10 Julai jam 11.59 malam.

“Saya berharap semua jentera terus mengekalkan semangat dan konsisten kerana perjuangan ini mesti diteruskan demi mencapai kemenangan pada 11 Julai,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast