KUALA LUMPUR – Bekas ketua jurulatih skuad bawah 23 tahun kebangsaan, Nafuzi Zain diumumkan kembali mengemudi Terengganu FC (TFC) sebagai ketua jurulatih bagi saingan Liga Malaysia musim depan.
TFC berkata, jurulatih berusia 47 tahun itu telah menandatangani kontrak dua musim membimbing skuad Sang Penyu sehingga Mei 2028 selepas tiga tahun meninggalkan skuad Penyu itu.
“Pelantikan ini menandakan kepulangan seorang jurulatih yang cukup sinonim dengan Terengganu FC dan pernah mencipta pelbagai pencapaian membanggakan bersama kelab ini.
“Nafuzi bukanlah nama asing dalam keluarga besar Terengganu FC kerana eliau pernah membimbing pasukan dari tahun 2019 hingga 2022 dan berjaya membawa Terengganu FC muncul sebagai antara pencabar utama Liga Super termasuk menamatkan saingan liga di tempat ketiga pada musim 2020 serta muncul naib juara Liga Super dan Piala FA pada musim 2022,” kata TFC dalam satu kenyataan di sini.
Kelab itu berkata, kepulangan Nafuzi hadir tepat pada masanya ketika Terengganu FC sedang melalui fasa pembinaan semula pasukan dengan hala tuju yang lebih jelas, berfokus dan berdaya saing.
Pengurusan kelab percaya pengalaman, pemahaman terhadap budaya pasukan serta hubungan erat beliau dengan penyokong akan menjadi aset penting dalam usaha mengembalikan Terengganu FC ke landasan yang diharapkan.
“Sebagai persediaan menghadapi musim baharu, Nafuzi telah mula mengenal pasti beberapa pemain tempatan dan pemain import, selain menyusun barisan kejurulatihan menerusi Jawatankuasa Teknikal dan Pemilihan TFC yang telah dipertanggungjawabkan oleh kelab untuk membentuk skuad yang mampu memenuhi kehendak taktikal beliau.
“Proses pembentukan pasukan sedang berjalan dengan teliti dan lancar bagi memastikan Terengganu FC memiliki kombinasi terbaik antara pemain sedia ada dan muka-muka baharu yang mampu memperkukuhkan pasukan.
Pelantikan Nafuzi turut mencerminkan komitmen kelab untuk membina sebuah pasukan yang kompetitif, beridentiti jelas dan mampu bersaing secara konsisten dalam setiap pertandingan yang disertai,” kata TFC.
Kelab it turut percaya, dengan pengalaman luas beliau dalam bola sepak tempatan serta rekod cemerlang bersama Terengganu FC sebelum ini, Nafuzi merupakan individu paling sesuai untuk memimpin projek baharu Terengganu FC bagi tempoh dua musim akan datang.
“Selamat kembali ke bumi Terengganu, Nafuzi Zain. Semoga perjalanan baharu ini membawa lebih banyak kejayaan dan detik membanggakan buat Terengganu FC serta seluruh penyokong Terengganu,” kata TFC. – MalaysiaGazette
















