Calon PH N.41 Puteri Wangsa, Dr Maszlee Malik sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 di Taman Daya, Tebrau. Foto FAREEZ FADZIL, 30 JUN 2026.

JOHOR BAHRU – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi DUN Puteri Wangsa, Dr Maszlee Malik bertekad membawa pendekatan yang lebih dekat dengan rakyat dengan menyelesaikan isu mengikut keperluan setiap komuniti, sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 11 Julai ini.

Beliau berkata, pendekatan itu penting kerana Puteri Wangsa bukan sebuah kawasan yang mempunyai satu kelompok masyarakat sahaja, sebaliknya terdiri daripada pelbagai jenis penempatan dengan cabaran dan keperluan yang berbeza.

Menurutnya, DUN Puteri Wangsa merupakan antara kawasan yang mempunyai jumlah penduduk paling ramai di Johor sehingga ada yang menyifatkannya lebih besar berbanding beberapa kawasan Parlimen.

“Di Puteri Wangsa ada kawasan perumahan mewah seperti Adda Heights dan Bandar Dato’ Onn, selain kawasan perumahan kos sederhana, Program Perumahan Rakyat (PPR), kampung tradisional serta penempatan Felda Ulu Tebrau.

“Sudah tentu setiap komuniti mempunyai isu yang berbeza. Sebab itu saya tidak percaya kepada satu penyelesaian untuk semua kawasan.

“Kita perlu mendengar sendiri apa yang mereka perlukan sebelum mencari jalan penyelesaian,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette baru-baru ini.

Taman Puteri Wangsa ketika tinjauan MalaysiaGazette di sekitar Tebrau, Johor. Foto FAREEZ FADZIL, 29 JUN 2026.

Bekas Menteri Pendidikan itu berkata, sepanjang tempoh berkempen beliau mengambil peluang bertemu seramai mungkin penduduk bagi memahami sendiri masalah yang dihadapi di setiap kawasan.

Katanya, hasil pertemuan itu mendapati penduduk di kawasan PPR lebih banyak membangkitkan isu pemilikan rumah selepas bayaran sewa beli selesai, kekurangan parkir serta beberapa masalah sosial yang memerlukan perhatian segera.

“Penduduk di kawasan kampung pula lebih banyak bercakap mengenai banjir yang masih berlaku setiap kali hujan lebat walaupun beberapa projek tebatan telah dilaksanakan.

“Di Kangkar Tebrau pula, selain isu banjir, ada penduduk yang membangkitkan soal kebersihan dan kehadiran pendatang asing yang menimbulkan kebimbangan masyarakat setempat,” ujarnya.

Calon PH N.41 Puteri Wangsa, Dr Maszlee Malik menyantuni penduduk ketika berkempen sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 di Taman Daya, Tebrau. Foto FAREEZ FADZIL, 28 JUN 2026.

Maszlee berkata, apabila turun ke kawasan bandar, kebanyakan penduduk pula mengadu mengenai kesesakan lalu lintas, jalan berlubang, lampu jalan yang rosak, kekurangan parkir serta kemudahan awam yang memerlukan penyelenggaraan.

Beliau berkata, golongan muda pula lebih banyak meluahkan kebimbangan terhadap kenaikan harga rumah yang menyukarkan mereka memiliki kediaman sendiri walaupun sudah mempunyai pekerjaan.

“Dalam masa sama, saya juga menerima luahan ibu bapa yang bimbang apabila ada anak muda memilih untuk tidak meneruskan pelajaran kerana melihat peluang bekerja di Singapura lebih menarik disebabkan kadar gaji yang lebih tinggi.

“Kita perlu menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan yang menawarkan gaji lebih baik di Johor supaya anak muda tidak merasakan mereka perlu berhijrah ke negara jiran untuk membina kehidupan,” katanya lagi.

Mengulas perancangannya jika dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa, Maszlee berkata, beliau bercadang membangunkan sebuah aplikasi khas bagi memudahkan penduduk mengemukakan aduan serta memantau perkembangan tindakan terhadap setiap laporan.

Katanya, aplikasi itu akan dihubungkan dengan agensi berkaitan supaya setiap aduan dapat disalurkan terus kepada pihak yang bertanggungjawab, mempercepatkan proses penyelesaian.

Menteri Dalam Negeri yang juga Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bersama Naib Presiden PKR, Datuk Seri Amirudin Shari mengiringi calon PH N.41 Puteri Wangsa, Dr Maszlee Malik pada Hari Penamaan Calon sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 di SMK Taman Dato Onn, Johor Bahru. Foto FAREEZ FADZIL, 27 JUN 2026.

“Saya mahu rakyat bukan sekadar membuat aduan, tetapi mereka juga boleh melihat perkembangan tindakan terhadap aduan tersebut. Saya mahu hubungan antara rakyat, wakil rakyat dan agensi kerajaan menjadi lebih mudah, cepat dan berkesan,” katanya.

Mengulas visinya untuk Johor secara keseluruhan, Maszlee berkata, pembangunan negeri tidak boleh hanya tertumpu di Johor Bahru, sebaliknya perlu diperluaskan ke daerah lain.

Antaranya seperti Segamat, Mersing dan Kota Tinggi supaya limpahan pelaburan serta kemajuan dapat dinikmati secara lebih menyeluruh.

Beliau berkata, kemakmuran Johor hanya akan benar-benar bermakna apabila manfaatnya dapat dirasai semua lapisan masyarakat tanpa mengira sama ada mereka tinggal di bandar, pinggir bandar atau luar bandar.

Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh pengundi Puteri Wangsa, khususnya anak muda dan rakyat Johor yang bekerja di Singapura, supaya pulang menunaikan tanggungjawab mengundi pada PRN Johor kerana setiap undi akan menentukan hala tuju pembangunan Puteri Wangsa dan negeri itu untuk lima tahun akan datang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast