Calon Pakatan Harapan N.51 Bukit Batu, Arthur Chion Sen Sern menyantuni peniaga dan pengunjung sempena kempen Pilihan Raya Negeri Johor ke-16 di Pasar Malam Taman Manis, Kulai, Johor. Foto SADIQ SANI, 30 JUN 2026.

KULAI – Calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Batu Arthur Chiong Sen Sern mahu memastikan limpahan ekonomi terus dirasai rakyat di kawasan tersebut menerusi pelaburan akan datang.

Arthur yang mewakili Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor berkata, antara fokus utama pembangunan ialah menaik taraf infrastruktur jalan raya dengan mengemukakan permohonan pelebaran Jalan Persekutuan FT001 daripada dua menjadi empat lorong.

Jelas Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Kulai itu, cadangan tersebut bagi mengatasi kesesakan yang semakin meruncing di situ.

“Bagi langkah jangka pendek, penyelesaian secara berfasa akan dilaksanakan di kawasan titik panas kesesakan termasuk pemasangan sistem lampu isyarat pintar untuk melancarkan aliran trafik.

“Kita akan usahakan penyelesaian secara berfasa supaya pengguna jalan raya tidak perlu menunggu terlalu lama sementara projek pelebaran dilaksanakan,” katanya mengenai perancangan yang akan dilakukan jika menang di kerusi itu.

Selain infrastruktur, beliau berhasrat memperkasakan sektor pelancongan sebagai pemangkin baharu ekonomi komuniti di Kulai, khususnya DUN Bukit Batu melalui penganjuran pelbagai aktiviti dan penciptaan produk pelancongan yang lebih kompetitif.

Beliau berkata, terdapat potensi besar untuk menarik aliran pelancong dari Singapura supaya singgah di situ, bukannya terus ke lokasi lain.

“Disebabkan itu saya sering memohon kepada Tourism Johor supaya mewujudkan lebih banyak lokasi pelancongan baharu untuk menarik pelancong singgah dan berbelanja di Johor.

“Usaha ini penting supaya mereka singgah di Kulai, khususnya di Bukit Batu vana mempunyai pelbagai tarikan,” katanya.

Arthur, 36, akan bertemu calon Barisan Nasional (BN), R K Kumaran; 56; calon Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), M Premanand, 53, calon Parti Bersama Malaysia (Bersama), G Tamili, 30, dan calon Bebas, Datuk Kamaruzaman Ali, 63.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast