JOHOR BAHRU – Para pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa mahu calon yang bakal dipilih mewakili mereka di kawasan itu lebih fokus kepada isu-isu rakyat berbanding retorik politik.
Rata-rata penduduk yang ditemui MalaysiaGazette berharap wakil rakyat yang bakal dipilih pada 11 Julai ini memberi tumpuan kepada penyelesaian isu kos sara hidup, peluang pekerjaan, pemilikan rumah, kesesakan lalu lintas serta kebajikan rakyat yang disifatkan semakin mencabar.

Penjual durian, Chew Lai, 70, yang telah menetap di Puteri Wangsa sejak dilahirkan berkata, pembangunan pesat kawasan itu sememangnya membawa banyak perubahan, namun beban kos sara hidup masih menjadi kebimbangan utama penduduk.
Menurutnya, kenaikan harga barang menyebabkan ramai berdepan kesukaran menguruskan perbelanjaan harian kerana pendapatan yang diterima tidak meningkat seiring dengan kos kehidupan.
“Barang semua sudah naik harga. Pendapatan pula masih rendah. Ramai yang rasa tidak cukup untuk menampung keperluan harian. Kalau pendapatan dapat dipertingkatkan, barulah rakyat boleh hidup dengan lebih selesa,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette.

Pandangan hampir sama turut disuarakan pemandu bas sekolah, Mohd Fauzi Adan, 40, yang menaruh harapan agar keadaan ekonomi kembali pulih agar lebih banyak peluang pekerjaan dan perniagaan dapat diwujudkan.
Beliau berkata, kelembapan ekonomi yang dirasai ketika ini memberi kesan kepada ramai pihak termasuk peniaga kecil dan mereka yang bergantung kepada pendapatan bulanan untuk menyara keluarga.
“Kita harap ekonomi akan bertambah baik. Bila ekonomi pulih, rakyat lebih yakin berbelanja, perniagaan berkembang dan peluang mencari rezeki juga menjadi lebih baik,” katanya.
Selain isu pendapatan, pemilikan rumah turut menjadi kebimbangan sebahagian penduduk, khususnya golongan muda yang baru memulakan kehidupan.

Bagi Zailan Jaafar, 59, walaupun Puteri Wangsa kini berubah menjadi kawasan bandar yang lengkap dengan pelbagai kemudahan, harga rumah yang semakin tinggi menyebabkan ramai anak muda sukar memiliki kediaman sendiri.
Beliau yang menetap di kawasan itu lebih 30 tahun berkata, pembangunan pesat tidak seharusnya hanya tertumpu kepada projek komersial, sebaliknya perlu diseimbangkan dengan pembinaan lebih banyak rumah mampu milik.
“Harga rumah sekarang terlalu tinggi. Ramai anak muda belum mampu membeli rumah sendiri. Pembangunan memang bagus, tetapi rumah mampu milik juga perlu diberi perhatian supaya generasi muda mempunyai peluang memiliki kediaman sendiri,” katanya.

Bagi Suppan Veeran, 82, pula, isu yang paling membelenggu penduduk ialah kesesakan lalu lintas yang disifatkannya semakin serius berikutan pertambahan jumlah penduduk dan kenderaan di kawasan itu.
Beliau berkata, laluan keluar masuk Puteri Wangsa terutama pada waktu puncak sering mengalami kesesakan sehingga menjejaskan pergerakan harian penduduk setempat.
Katanya, penambahbaikan infrastruktur termasuk pembinaan laluan pusingan U di lokasi strategik serta penyusunan semula aliran trafik mampu membantu mengurangkan kesesakan yang telah berlarutan sejak sekian lama.
“Kita perlukan penyelesaian yang praktikal supaya penduduk tidak lagi berdepan kesesakan setiap hari,” katanya.

Sementara itu, pesara, Hamidah Mohd Nor, 68, berpendapat pembangunan yang pesat sememangnya sesuatu yang baik, namun ia perlu diseimbangkan dengan kebajikan rakyat serta usaha mengekalkan keharmonian masyarakat yang telah lama menjadi kekuatan Puteri Wangsa.
Menurutnya, pembangunan tidak seharusnya menyebabkan mana-mana golongan, khususnya warga emas dan mereka yang memerlukan berasa terpinggir daripada menikmati manfaat yang disediakan kerajaan.
Beliau turut berharap mana-mana wakil rakyat yang dipilih selepas PRN ini menunaikan segala janji yang dibuat sepanjang tempoh berkempen dan memastikan bantuan kerajaan terus disalurkan kepada mereka yang benar-benar layak.
“Jangan sekadar berjanji. Apa yang baik untuk rakyat, teruskan. Bantuan juga biarlah sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukan,” katanya.
Pada PRN Johor 11 Julai ini, DUN Puteri Wangsa menyaksikan pertandingan lima penjuru membabitkan Dr Maszlee Malik mewakili Pakatan Harapan, Teow Chia Ling (Barisan Nasional), Nicholas Paul Vincent (Parti Bersama Malaysia), Rashifa Aljunied (MUDA) serta Wang Wee Szong yang bertanding sebagai calon Bebas. – MalaysiaGazette
















