KUALA LUMPUR – Polis sedang mengesan dua lelaki warga asing yang menunggang motosikal tanpa memakai topi keledar dekat di Lebuhraya Kesas, di sini yang tular di media sosial.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, setakat ini belum ada sebarang aduan yang diterima.
“Susulan video tular itu, pihak JSPT sedang mengesan dan akan mengambil tindakan atas kesalahan yang akan wujud mengikut peruntukan undang-undang di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, selain tidak memakai topi keledar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Antaranya kesalahan tersebut iaitu tiada lesen memandu semasa menunggang motosikal, membenarkan orang tanpa lesen menggunakan kenderaan serta cukai jalan tamat tempoh.
Tambah beliau, orang ramai diminta membuat aduan atau menyampaikan maklumat bagi kesalahan lalulintas dengan menghubungi terus JSPT atau mana-mana balai yang terdekat agar tindakan awal boleh dijalankan.
Laporan itu perlu disertakan dengan nombor kenderaan dan lokasi kesalahan dan jika ada rakaman video sebagai bukti kesalahan.
Jelasnya, tindakan pantas ini boleh mengelakkan daripada hilangnya bukti kesalahan.
Terdahulu tular video di media sosial, memaparkan dua lelaki warga asing menaiki motosikal dengan nombor pendaftaran VBS 2613 tanpa memakai topi keledar berdekatan Endah Parade Mall di Lebuhraya Kesas. – MalaysiaGazette















