KUALA LUMPUR – Pusat Pungutan Zakat – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) hari ini melancarkan Kempen Jom Potong 2026.
Ia dalam usaha memperluas kesedaran masyarakat terhadap kepentingan menunaikan zakat secara mudah, konsisten dan terancang menerusi Skim Potongan Zakat Bulanan (Skim PZB).
Memasuki tahun kelima pelaksanaannya, Kempen Jom Potong 2026 tampil dengan pendekatan lebih segar melalui kerjasama strategik bersama jenama makanan tempatan popular, Ayam Gepuk Top Global (AGTG), yang membawa tagline Level Up Your
Spiciness, Level Up Your Zakat.
Pemilihan AGTG sebagai rakan strategik dibuat berdasarkan keserasian profil pelanggan yang terdiri daripada golongan bekerja di samping reputasinya sebagai jenama tempatan
milik usahawan Muslim yang juga merupakan pembayar zakat PPZ-MAIWP.
Kerjasama itu diharap dapat memperluaskan lagi mesej zakat kepada masyarakat melalui pendekatan yang lebih dekat dengan gaya hidup masa kini.
Kempen yang berlangsung bermula 1 Julai hingga 31 Disember 2026 ini menyasarkan golongan pekerja sektor awam dan swasta untuk mula atau meningkatkan komitmen pembayaran zakat melalui kaedah potongan bulanan yang lebih mudah, sistematik dan berterusan.
Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Datuk Abdul Hakim Amir Osman berkata, Kempen Jom Potong merupakan antara inisiatif berterusan PPZ-MAIWP dalam membudayakan pembayaran zakat secara konsisten dalam kalangan masyarakat khususnya warga kerja di Wilayah Persekutuan.
Menurut beliau, Skim PZB memainkan peranan penting dalam membantu masyarakat menunaikan kewajipan zakat dengan lebih mudah kerana bayaran dilakukan secara berkala tanpa perlu menunggu sehingga penghujung tahun.
“Pembayaran zakat secara bulanan bukan sahaja memudahkan pembayar menguruskan kewangan dengan lebih terancang malah memastikan kewajipan zakat dapat dilaksanakan secara konsisten dan berterusan.
“Apabila lebih ramai masyarakat memilih untuk menunaikan zakat secara istiqamah melalui Skim PZB, maka secara tidak langsung manfaat yang akan disalurkan kepada golongan asnaf akan lebih pantas dan berkesan,” katanya ketika berucap sempena Majlis Pelancaran Kempen Jom Potong 2026 yang berlangsung di Ayam Gepuk Top Global KLTS, Setapak hari ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Top Global Food and Beverages Sdn Bhd, Muhammad Annas Athoillah Mohd Fauzi berkata, kerjasama strategik bersama PPZ- MAIWP menerusi Kempen Jom Potong 2026 merupakan satu penghormatan buat Ayam Gepuk Top Global dalam usaha memperkukuhkan budaya berzakat dalam kalangan masyarakat.
Menurut beliau, sebagai jenama tempatan milik usahawan muslim, pihaknya percaya setiap perniagaan mempunyai tanggungjawab sosial untuk menyumbang kembali kepada masyarakat.
“Kerjasama bersama PPZ-MAIWP ini membuktikan bahawa sektor korporat dan institusi agama mampu berganding bahu dalam menyampaikan mesej zakat secara lebih kreatif, relevan dan mudah diakses.
“Kami berharap menerusi rangkaian cawangan Ayam Gepuk Top Global serta kempen yang dijalankan, lebih ramai masyarakat akan memahami kepentingan menunaikan zakat secara konsisten melalui Skim Potongan Zakat Bulanan,” katanya.
Menerusi Kempen Jom Potong 2026, sebanyak 5,000 pembayar zakat yang mula atau menambah potongan zakat bulanan sepanjang tempoh kempen berpeluang menerima baucar makanan Ayam Gepuk Top Global bernilai RM6, tertakluk terma dan syarat.
Selain itu, pembayar zakat bertuah turut berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik termasuk Pakej Umrah, Pakej Percutian Dalam Negeri, EV Skuter, Emas 1 Dinar, Asus Gaming Laptop, Nintendo Switch dan Smartwatch menerusi cabutan bertuah yang akan dibuat dua kali sepanjang tempoh kempen.
Dalam tempoh kempen ini, PPZ-MAIWP turut memperkenalkan Zakat Friends Get Friends yang menggalakkan pembayar Skim PZB sedia ada menjadi ejen kebaikan dengan mengajak rakan dan kenalan menyertai skim potongan zakat bulanan melalui kod QR atau pautan referral masing-masing.

Pembayar boleh mendaftar untuk menyertai kempen ini menerusi pautan ptg-fgf.zakat.com.my atau dengan mengimbas kod QR yang disediakan.
Sebagai penghargaan, peserta berpeluang menikmati pelbagai hadiah menarik berdasarkan jumlah penyertaan yang berjaya dirujuk.
Bagi individu yang ingin mula menunaikan zakat atau menambah potongan zakat bulanan menerusi Kempen Jom Potong 2026, pendaftaran Skim PZB boleh dibuat melalui kaedah daftar PZB secara dalam talian melalui ptg.zakat.com.my.
Boleh juga imbas kod QR yang tersedia pada bungkusan khas Kempen Jom Potong (sleeve box) Ayam Gepuk Top Global yang diedarkan sepanjang tempoh kempen berlangsung.
Satu lagi boleh mengisi borang Skim PZB secara manual di kaunter PPZ-MAIWP di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.
PPZ-MAIWP berharap Kempen Jom Potong 2026 dapat membudayakan pembayaran zakat secara potongan bulanan sebagai pilihan utama masyarakat bekerja.
Semakin ramai yang memilih kaedah ini, semakin terjamin kesinambungan bantuan zakat kepada golongan asnaf yang memerlukan.
Sebarang maklumat lanjut berkaitan kempen, sila layari portal PPZ-MAIWP di zakat.com.my/jompotong2026 atau ikuti media sosial Pusat Pungutan Zakat. – MalaysiaGazette
















