KUALA LUMPUR – Sindiket curi lori bonded yang aktif di Selangor, Johor, Melaka dan Kuala Lumpur dengan jumlah kerugian mencecah RM1.23 juta berjaya ditumpaskan menerusi Op Lejang Lori Bonded pada 22 Jun hingga 28 Jun lalu.
Operasi itu dilakukan oleh pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman hasil risikan selama empat bulan bermula Mac hingga Jun lalu dengan menahan tujuh lelaki tempatan termasuk dalang utama berusia antara 32 hingga 48 tahun.
Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, kesemua tangkapan itu dilakukan beberapa lokasi berasingan di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur yang kini ditahan reman bagi membantu siasatan.
“Siasatan awal mendapati, salah seorang suspek yang ditahan merupakan dalang utama berperanan sebagai orang tengah untuk mencari pencuri (striker), pengedali stor haram, mekanik, transporter dan pembeli komponen lori curi.
“Modus operandi yang digunakan adalah dalang utama akan menerima tempahan daripada pemilik bengkel sebelum mengarahkan suspek (striker) untuk mencuri model lori yang dikehendaki dan membawa lori curi itu ke stor atau bengkel haram bagi dileraikan.
“Kemudian menjual komponen dan kepala lori secara berasingan dengan harga di bawah nilai pasaran dengan mengiklankan penjualan komponen berkenaan melalui platform media sosial,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, kemudian setiap suspek terbabit akan dibayar mengikut jenis kepala lori yang berjaya dicuri dengan anggaran bayaran antara RM15,000 hingga RM18,000.
“Sindiket ini juga disyaki terlibat lebih 18 kes kecurian lori bondedn yang dilaporkan di Johor, Melaka, Selangor dan Kuala Lumpur dengan anggaran jumlah kerugian sebanyak RM1.23 juta.
“Dalam serbuan itu, kita telah merampas tiga lori (Isuzu), masing-masing satu lori (Hino, Mitsubhisi Fuso), sebuah kereta Perodua Myvi, sebuah motosikal Yamaha Nouvo LC, dan beberapa peralatan pemotong lori.
“Turut dirampas satu unit jammer, (2) unit Axle lori, (1) unit steering box dan pelbagai dokumen syarikat serta resit pembayaran yang dipercayai berkaitan dengan kegiatan sindiket dengan jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan RM400,000,” jelasnya.
Kumar menambah, kes sedang disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan Seksyen 4(1) di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) AMLATFPUAA 2001.
“Sehingga kini sebanyak 13 akaun bank telah dibekukan dengan nilai keseluruhan sebanyak RM280,836.10 mengikut Seksyen 44(1) AMLATFPUAA 2001.
“Pemilik lori dan pengusaha syarikat logistik dinasihat untuk memastikan kenderaan dilengkapi sistem keselamatan serta pemantauan GPS yang sentiasa berfungsi, selain diparkir di kawasan selamat dan mempunyai kawalan keselamatan.
“Pemilik bengkel juga diingatkan supaya tidak membeli mana-mana komponen kenderaan tanpa dokumen pemilikan yang sah atau ditawarkan dibawah harga pasaran kerana boleh mendedahkan mereka kepada tindakan undang-undang,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















