KUALA LUMPUR – Malaysia sedang memperkukuh asas kepercayaan digital negara menerusi penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Tadbir Urus Kecerdasan Buatan (AI) bagi memastikan pembangunan teknologi AI dilaksanakan secara bertanggungjawab, telus dan mengutamakan kepentingan rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, RUU yang kini di peringkat akhir penyediaan itu akan melengkapkan rangka kerja sedia ada termasuk Akta Keselamatan Siber serta peraturan perlindungan data, sekali gus memperkukuh ekosistem digital negara.
“Rang Undang-Undang ini akan melengkapi rangka kerja sedia ada, termasuk Akta Keselamatan Siber dan peraturan perlindungan data kita.
“Kepercayaan digital merupakan asas pembinaan negara digital, dan Rancangan Malaysia ke-13 serta fasa terakhir Pelan Tindakan Ekonomi Digital Malaysia menekankan keutamaan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Pusat Operasi Global Ant International Kuala Lumpur di Tun Razak Exchange di sini hari ini.
Menurut Anwar, ketika era kecerdasan buatan (AI) terus mengubah landskap perniagaan, perdagangan dan sistem kewangan global, pertimbangan manusia perlu kekal menjadi asas utama dalam setiap proses membuat keputusan, walaupun teknologi semakin canggih.
Beliau berkata, era AI ini boleh menjadi sesuatu yang berbeza kerana ia bukan sahaja mengubah cara perniagaan dijalankan malah turut membentuk bagaimana urus niaga dilaksanakan, penilaian kredit dibuat, pengurusan risiko dijalankan serta bagaimana pasaran saling berhubung merentasi sempadan.
“Jika digunakan secara bertanggungjawab, model bahasa yang besar boleh menghilangkan halangan, memudahkan komunikasi dan mewujudkan peluang baharu untuk perdagangan dan inovasi.
“Namun, teknologi ini juga menumpukan kuasa yang besar di tangan mereka yang mengawal data, platform dan infrastruktur digital,” ujarnya lagi.
Menurut beliau, negara perlu memastikan pertimbangan manusia kekal menjadi teras utama dalam setiap proses membuat keputusan, walaupun mesin semakin canggih dan berkeupayaan tinggi. – MalaysiaGazette
















