Wisma Putra

KUALA LUMPUR – Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra) memantau rapat situasi di selatan Thailand susulan beberapa insiden keselamatan yang dilaporkan berlaku di wilayah itu, malam tadi.

Insiden berkenaan dilaporkan berlaku di Yala, Pattani dan Narathiwat, dengan pasukan keselamatan tempatan meningkatkan kawalan serta langkah keselamatan di kawasan terjejas, termasuk melaksanakan perintah berkurung sementara.

Dalam kenyataan hari ini, Wisma Putra memaklumkan setakat ini tiada laporan mengenai mana-mana warganegara Malaysia yang terjejas akibat insiden berkenaan.

“Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok dan Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla sentiasa berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan bagi memantau perkembangan dan memastikan keselamatan serta kebajikan warganegara Malaysia di kawasan berkenaan,” menurut kenyataan rasmi, hari ini.

Sehubungan itu, warganegara Malaysia yang menetap, melakukan perjalanan atau berhasrat keluar masuk ke wilayah sempadan selatan Thailand dinasihatkan supaya lebih berwaspada dan sentiasa peka terhadap perkembangan keselamatan semasa.

Mereka juga diminta mematuhi sepenuhnya semua nasihat keselamatan, perintah berkurung serta arahan keselamatan yang dikuatkuasakan pihak berkuasa tempatan.

Bagi memudahkan komunikasi dan penyaluran bantuan konsular dengan pantas, warganegara Malaysia turut digesa mendaftar serta mengemas kini maklumat perhubungan menerusi portal e-Konsular.

Bagi mendapatkan bantuan konsular segera atau ketika kecemasan, warganegara Malaysia boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok di talian +66 2 340 5720 atau e-mel [email protected].

Mereka juga boleh menghubungi Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla menerusi talian kecemasan +(6674) 316 274 atau +(6681) 990 1930, selain talian pertanyaan umum +(6674) 324 004 atau +(6674) 312 353 serta e-mel [email protected].

Wisma Putra berkata kementerian akan terus memantau situasi berkenaan dan menyalurkan maklumat terkini sekiranya diperlukan.

Media Thailand melaporkan wilayah Narathiwat, Patani dan Yala digegarkan siri letupan bom dan serangan serentak di lebih 51 lokasi, bermula kira-kira 8.15 malam tadi.

Kejadian itu turut menyebabkan kerosakan harta benda dan kebakaran, selain pihak berkuasa Thailand mengeluarkan arahan perintah berkurung di kawasan terjejas. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here