JOHOR BAHRU – Timbalan Setiausaha Agung keadilan yang juga Pengarah Strategik keadilan Selangor, Saifuddin Shafi Muhammad mempersoalkan dakwaan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh yang mengaitkan prestasi ekonomi Johor dengan kejayaan pentadbiran Barisan Nasional (BN).
Beliau berkata, dakwaan itu perlu dinilai secara menyeluruh dan bukan hanya berdasarkan angka pertumbuhan ekonomi semata-mata.
Menurutnya, BN telah mentadbir Johor lebih 60 tahun, manakala Datuk Onn Hafiz Ghazi pula kini memasuki tahun kelima sebagai Menteri Besar.
“Kalau BN benar-benar hebat, kenapa Johor baru berkembang sekarang? Mengapa bukan pada tahun-tahun sebelumnya?,” tulisnya dalam Facebook beliau sebentar tadi.
Saifuddin mendakwa perkembangan ekonomi Johor sejak kebelakangan ini didorong oleh keyakinan pelabur dan rakyat terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Kerajaan Persekutuan yang diterajui Pakatan Harapan (PH).
“Kalau nak semak sesuatu angka, kena semak betul-betul. Jangan lihat satu bahagian sahaja,” tegasnya.
Beliau berkata pada 2025, ekonomi Johor bertambah sebanyak RM12.6 bilion, namun dalam tempoh sama negeri itu menerima kira-kira RM16 bilion daripada Kerajaan Persekutuan.
“Ini bermakna sumbangan Kerajaan Persekutuan kepada Johor lebih besar daripada pertambahan nilai ekonomi negeri itu sendiri.
“Kalau kerajaan negeri benar-benar hebat, bantuan RM16 bilion itu sepatutnya mampu diterjemahkan kepada pulangan ekonomi yang jauh lebih tinggi, sekurang-kurangnya RM32 bilion atau RM48 bilion, bukannya hanya RM12.6 bilion,” ujarnya.
Menurut Saifuddin, keadaan itu menimbulkan persoalan mengenai keberkesanan kerajaan negeri memanfaatkan bantuan yang disalurkan Kerajaan Persekutuan.
“Cuba bayangkan kalau Johor tidak menerima bantuan daripada Kerajaan Persekutuan. Apakah nasib ekonomi negeri ini?” katanya.
Dalam masa sama, beliau turut mendakwa negeri yang dianggotai Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh sebagai Exco kerajaan negeri juga menerima peruntukan Kerajaan Persekutuan yang melebihi hasil cukai yang disumbangkan kepada kerajaan pusat.
Saifuddin berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Akmal yang mempertahankan prestasi ekonomi Johor selepas membandingkan kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri itu dengan beberapa negeri lain. -MalaysiaGazette
KDNK Johor dah nombor 1 kenapa nak diturunkan? Akmal ‘sekolahkan’ calon PH
















