Guna Balakrishnan mendengar penjelasan wakil MCMC selepas mendengar keluhan penduduk di DUN Layang-Layang mengenai isu capaian internet.

LAYANG-LAYANG – Sudah lama internet macam ni, kadang-kadang dapat, kadang-kadang tidak. Bila betul-betul okay, barulah boleh senyum.

Itu luahan seorang warga emas, Noraini Bokhari, 67, yang merupakan salah seorang daripada ratusan penduduk di Felda Layng-Layang.

Menurutnya, masalah capaian internet di kawasan itu merupakan masalah kepada penduduk dan mahu kerajaan menambah baik dengan segera.

Sebagai pemilik kedai runcit, katanya, capaian internet yang laju sangat penting dalam urus niaga setiap hari.

“Kalau boleh cepatlah selesai masalah ini supaya urusan kami dapat disegerakan, terutama ketika melibatkan hal-hal kecemasan.

“Sekarang ni anak makcik yang uruskan di luar sebab yang ada ni (internet)i kejap ada, kejap tak ada,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Noraini Bokhari

Ibu kepada tiga anak itu juga mengeluh kerana capaian internet yang lemah menyebabkan dia sukar untuk berhubung anak-anak yang tinggal jauh.

“Anak makcik tinggal di Sarawak dan Negeri Sembilan, bila nak video call tu, susah sikitlah, sangkut-sangkut nak cakap.

“Makcik harap adalah pihak yang boleh tolong betulkan internet ni jadi baik lagi,” katanya.

Peniaga tempatan, Md Akram Bahari, 46, pula berkata, dalam era teknologi serba canggih pada masa ini, konsep ‘tenggelam timbul’ dalam capaian internet sepatutnya tidak wujud lagi.

Md Akram Bahari

“Kepelbagaian rangkaian telco seperti Maxis, CelcomDigi, TM atau Unifi perlu diperluaskan secara menyeluruh supaya tiada lagi istilah penduduk terputus hubungan.

“Sekarang semua benda guna Wi-Fi, semua online. Benda kena cepat. Kalau pakai broadband atau Unifi di rumah mungkin tak ada masalah sangat, tapi bila kita bergerak keluar ke kedai makan, data telefon sendiri jadi terlalu perlahan.

“Bila kita keluar dari rumah, terus tak dapat line. Nak harap Wi-Fi rumah, jaraknya terhad. Sebab itu liputan data telefon luaran kena diperkasakan,” keluh Md Akram.

Seorang lagi penduduk di Felda Layang-Layang, Farah Nazihah Mohd Sain, 33, mendakwa ketiadaan persaingan sihat antara syarikat telekomunikasi menyebabkan kualiti perkhidmatan di kawasan Felda tersebut berada pada tahap yang statik.

Farah Nazihah Mohd Sain

“Dekat Felda Layang-Layang ni hanya ada Celcom dan DiGi sahaja. Kalau kita keluar dari kawasan sikit, internet mula bermasalah.

“Kami penduduk di sini amat berharap ada penambahan telco baharu untuk memudahkan urusan seharian,” jelasnya.

Sementara itu, seorang lagi warga emas, Othman Yusoff, 76, mengakui dia bernasib baik kerana melanggan perkhidmatan Unifi di rumahnya, sekali gus membantu melancarkan urusan menerima maklumat terkini.

Othman Yusoff

Namun, beliau berseloroh mahu jarak capaian Wi-Fi rumahnya mampu pergi lebih jauh agar memudahkan urusannya ketika berada di luar.

“Kadang-kadang saya tak pakai data telco, tapi pakai internet rumah. Kalau saya jalan-jalan sampai ke kedai dalam jarak kira-kira 500 meter, kadang-kadang dapat… ikut ‘angin’ lah.

“Kalau boleh, biarlah perjalanan internet tu lagi jauh. Kalau pasang kat rumah, boleh tak keliling satu kilometer kita boleh dapat talian? Ini 500 meter dah habis,” katanya.

Masalah penduduk di situ mendapat perhatian  calon Pakatan Harapan (PH), Guna Balakrishan apabila  terus mengambil tindakan proaktif dengan segera menghubungi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi menyelesaikan ‘penderitaan digital’ penduduk setempat.

“Sejurus menerima aduan mengenai masalah capaian rangkaian internet dan ketiadaan liputan telco lain seperti Maxis sewaktu sesi ramah mesra bersama penduduk, saya terus menghubungi YB Fahmi Fadzil.

Calon PH, Guna Balakrishnan mendengar penjelasan dari wakil MCMC yang tiba di Felda Layang-Layang berkenaan capaian internet di kawasan tersebut.

“Beliau sangat responsif dan terus menghulurkan bantuan dengan mengarahkan pihak MCMC turun ke Felda Layang-Layang hari ini juga untuk meneliti solusi terbaik,” katanya.

Jelasnya, perkara itu akan dipantau sepanjang masa bagi memastikan ia bukan janji kosong atau janji pilihan raya sebaliknya untuk kesejahteraan rakyat. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast