Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin bergambar bersama Calon Barisan Nasional, Parit Yaani, Datuk Najib Samuri pada Sembang Inspirasi, Parit Yaani bersama orang ramai sempena Kempen Pilihan Raya Negeri ke-16 (PRN16) di Sup Kambing Kanopi, Batu Pahat. Foto AIZAT ZAINAL, 2 JULAI 2026.

SRI GADING – Pakatan Harapan (PH) perlu menamakan terlebih dahulu calon Menteri Besar Johor sekiranya benar-benar mahu mengadakan debat dengan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, kata bekas Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Khairy Jamaluddin.

Beliau berpandangan, debat hanya wajar diadakan antara dua individu yang berada pada kedudukan setara sebagai calon Menteri Besar dan bukannya melibatkan pemimpin yang belum mendapat pengesahan sebagai calon rasmi.

Khairy berkata, serangan berterusan PH terhadap Onn Hafiz sebenarnya menunjukkan Menteri Besar Johor itu adalah ancaman politik dan aset terbesar Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

“Daripada sudut positif, bila Datuk Onn Hafiz diserang itu bermaksud beliau adalah ancaman kepada pihak yang menyerangnya. Kalau tidak, mereka tidak akan memberi perhatian sebegitu rupa.

“Bagi saya, Menteri Besar adalah antara aset terbesar Barisan Nasional. Beliau (Onn Hafiz) mentadbir negeri dengan baik sepanjang empat tahun, mempunyai perancangan yang jelas serta wawasan yang berkesan untuk masa depan Johor,” katanya kepada media selepas program makan tengahari bersama KJ dan calon BN Parit Yaani, Datuk Najib Samuri, di Parit Besar, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai desakan supaya Onn Hafiz menyertai debat bersama calon PH, Dr Maszlee Malek menjelang PRN Johor.

Cadangan penganjuran ‘Debat Perdana PRN Johor’ dilihat berpotensi menjadi antara tumpuan dalam PRN berkenaan dan idea itu dicetuskan pempengaruh Muhamad Harris Nasril dan turut dikongsi di laman Facebook Redaksi.com, selepas Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan kesemua 56 calon mewakili PH, di Muar, pada 22 Jun lalu.

Mengulas lanjut, Khairy berpandangan PH sejak awal dilihat menjadikan Onn Hafiz sebagai sasaran utama selepas menganggap beliau merupakan kekuatan terbesar BN berdasarkan analisis politik mereka.

“Namun, jika setiap hari hanya menyerang Menteri Besar, saya rasa ia akhirnya akan memakan diri.

“Rakyat akan tertanya-tanya, apa sebenarnya kesalahan besar Menteri Besar sehingga perlu diserang tanpa henti,” ujarnya.

Mengenai cadangan debat, Khairy berkata beliau tidak menolak format tersebut, namun ia bergantung kepada kesesuaian keadaan dan perlu melibatkan calon yang setaraf.

“Saya biasa berdebat dan ada masanya tidak perlu berdebat.

“Kalau sudah dikenal pasti calon Menteri Besar, walaupun tertakluk kepada perkenan istana, maka bolehlah diadakan debat antara calon-calon menteri besar.

“Di Amerika Syarikat pun, debat diadakan antara calon Presiden daripada parti yang bertanding. Prinsipnya sama, perlu melibatkan individu yang berada pada kedudukan setara,” tambah beliau.

Khairy turut mempersoalkan tindakan PH yang sehingga kini belum menamakan calon Menteri Besar walaupun mendakwa bersedia mentadbir negeri.

“Kalau benar ada calon, berikan bayangan siapa individu yang akan dicadangkan kepada Istana sekiranya PH menang.

“Kalau itu pun tidak boleh dibuat, bagaimana mahu meletakkan beliau setaraf dengan Onn Hafiz dalam satu pentas debat?” katanya.

Sehubungan itu, Khairy berkata keutamaan Onn Hafiz ketika ini adalah turun padang bertemu rakyat bagi menjelaskan dasar, program dan hala tuju kerajaan negeri.

“Bagi saya mudah sahaja, PH namakan dahulu calon menteri besar mereka, kemudian barulah kita boleh mempertimbangkan soal debat,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast