Menteri Komunikasi merangkap Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan, Datuk Fahmi Fadzil bercakap kepada media selepas Ceramah Pakatan Harapan sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 ketika di Bakri, Muar, Johor. Foto MOHD ADZLAN, 02 JULAI 2026.

MUAR – Radio Televisyen Malaysia (RTM) boleh dijadikan sebagai platform bagi sesi dialog antara Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, sesi debat itu boleh dibuat pada tarikh dan waktu yang dipersetujui semua pihak, termasuk boleh diadakan di Johor Bahru.

Tambahnya yang juga Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH), beliau percaya Onn Hafiz bukan seorang pemimpin yang suka `berdrama Hollywood’ dan berani untuk menyahut cabaran Maszlee yang juga calon PH bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.

“Masa masih ada, saya percaya Onn Hafiz bersedia untuk diajak berdialog, bukan untuk berdebat tetapi berdialog dengan beradab yang mungkin boleh menyentuh mengenai hala tuju negeri Johor,” katanya.

Menteri Komunikasi merangkap Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan, Datuk Fahmi Fadzil beramah mesra bersama penyokong yang hadir pada Ceramah Pakatan Harapan sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 ketika di Bakri, Muar, Johor. Foto MOHD ADZLAN, 02 JULAI 2026.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program ceramah sempena kempen PRN Johor ke-16 di Bakri, malam ini.

Fahmi ditanya berkenaan kenyataan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin hari ini yang menyifatkan PH perlu mengemukakan calon yang setaraf sekiranya mahu berdebat dengan Onn Hafiz.

Ditanya berkenaan kenyataan Khairy Jamaluddin itu, Fahmi menilai ia seolah-olah cuba `mengaburi mata’ dan mahu menyelamatkan maruah Onn Hafiz kerana menyedari Menteri Besar Johor berkenaan sebenarnya tidak berani untuk berdebat.

Katanya, disebabkan itu juga, Maszlee sebelum ini terpaksa membuka peluang kepada 41 anak muda untuk berdebat dengan beliau selepas Onn Hafiz dilihat seolah-olah cuba mengelak.

“Onn Hafiz saya tengok, banyak benda dia tak berani lah.

“Dia tak berani untuk berdepan apabila dijemput dengan baik oleh Maszlee sehinggakan Maszlee membuka peluang kepada 41 anak muda untuk berdebat dengan beliau.

“Jadi saya rasa, untuk menjadi seorang calon Menteri Besar, harus bersedia untuk berdepan bukan hanya dengan media dan penyokong-penyokongnya, tapi juga dengan pihak yang mungkin berlainan pandangan atau pendapat dengannya,” katanya.

Sebelum ini, Maszlee menyatakan kesediaan untuk bersemuka dan berdebat dengan mana-mana pihak, terutama Onn Hafiz bagi membentangkan visi serta membela nasib keseluruhan rakyat yang diwakili oleh PH. – MalaysiaGazette

Menteri Komunikasi merangkap Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan, Datuk Fahmi Fadzil selepas Ceramah Pakatan Harapan sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 ketika di Bakri, Muar, Johor. Foto MOHD ADZLAN, 02 JULAI 2026.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast