Antara jersi disyaki tiruan pelbagai pasukan dalam kejohanan Piala Dunia FIFA 2026 dirampas KPDN KL.

KUALA LUMPUR – Berselindung di sebalik bengkel besi, sebuah stor rahsia penyimpanan jersi disyaki tiruan pelbagai pasukan yang bertanding dalam kejohanan Piala Dunia FIFA 2026 berjaya ditumpaskan menerusi serbuan di Jalan Kerdas 4, Jalan Gombak, di sini hari ini.

Serbuan jam 3.30 petang tadi dijalankan Kementerian Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (KPDN WPKL) dengan kerjasama pemilik cap dagangan selepas mengesan kegiatan penjualan dan pengedaran barangan yang disyaki melanggar hak harta intelek.

Pasukan operasi menunjukkan jersi disyaki tiruan pelbagai pasukan yang bertanding dalam kejohanan Piala Dunia FIFA 2026.

Pengarah KPDN WPKL, Mohd Sabri Seman berkata, serbuan dilalukan hasil risikan selama seminggu dengan menahan seramai tiga individu tempatan berusia 30- an yang berperanan sebagai pekerja di premis terbabit.

“Kita melihat ketika musim panas World Cup ini agak lebih sikit dan berleluasa penjualan serta penyimpanan jersi-jersi bola sepak yang tidak sah taraf.

“Siasatan awal mendapati, ribuan jersi ditemui dan mereka menjual baju berkenaan melalui jualan secara langsung di media sosial pada harga di antara RM30 hingga RM50 sehelai.

“Premis itu dipercayai telah beroperasi selama dua tahun sebagai tempat simpanan stok dan aktiviti penjualan untuk pembeli secara atas talian dengan kadar sewaan RM2,000,” katanya dalam sidang media selepas operasi di sini.

Mohd Sabri berkata, sebanyak 10,500 helai jersi tiruan telah dirampas yang dianggarkan bernilai RM375,000 dan akan disiasat mengikut Akta Cap Dagangan 2019.

“Kita memandang serius terhadap aktiviti penjualan barangan tiruan kerana ia bukan saja melanggar hak pemilik cap dagangan malah boleh mengelirukan pengguna serta memberi kesan negatif pada ekonomi negara dan mewujudkan persaingan yang tidak adil.

“Tanggungjawab KPDN bukan saja menjaga hak pengguna teratoi menjadi amanah untuk menjaga hak dan kepentingan peniaga termasuk pemilik-pemilik cap dagang,” jelasnya.

Pengarah KPDN WPKL, Mohd Sabri Seman ditemui dalam operasi di Jalan Kerdas 4, Jalan Gombak, di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut mengalu-alukan kerjasama berterusan daripada pemilik cap dagangan berdaftar bagi memperkukuh usaha membanteras aktiviti pengedaran dan penjualan barangan tiruan di pasaran.

“KPDN KL akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan secara berkala di lokasi yang dikenal pasti sebagai kawasan tumpuan penjualan barangan tiruan mengikut pematuhan terhadap Akta Cap Dagangan 2019, Akta Perihal Dagangan 2011 dan Akta Hak Cipta 1987.

“Individu yang disabitkan kesalahan di bawah Akta Cap Dagangan 2019 boleh didenda sehingga RM10,000 bagi setiap barangan yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar atau dipenjarakan sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Bagi syarikat atau pertubuhan perbadanan pula, pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM15,000 bagi setiap barangan yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast