BENUT – Nama Datuk Mohd Sumali Reduan bukan sahaja dikenali dalam arena politik Johor, malah cukup sinonim dengan kebangkitan semula sepak takraw negara di pentas antarabangsa.
Sebagai Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), beliau sering dikreditkan sebagai antara individu penting yang mengembalikan Malaysia sebagai kuasa besar sukan warisan itu menerusi pelbagai kejayaan di peringkat antarabangsa sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Kini, pengalaman membina sebuah pasukan sehingga kembali bergelar antara yang terbaik di dunia mahu diterjemahkan pula ke DUN Benut apabila beliau menawarkan diri sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Menurut Sumali, kejayaan dalam apa jua bidang tidak boleh dicapai secara bersendirian, sebaliknya memerlukan kepimpinan yang jelas, kerja berpasukan serta kepercayaan semua pihak, nilai yang mahu diterapkannya sekiranya diberikan mandat oleh rakyat Benut.
Bercakap kepada MalaysiaGazette di Bilik Gerakan Utama (BGU) UMNO Benut, beliau berkata, jadual kempen sejak lima hari lalu dimanfaatkan sepenuhnya untuk turun padang bertemu seramai mungkin pengundi, khususnya golongan muda dan petani yang menjadi antara tonggak ekonomi kawasan itu.

Katanya, setiap program bukan sekadar platform memperkenalkan diri sebagai calon, sebaliknya peluang untuk mendengar sendiri suara rakyat supaya segala perancangan yang dirangka kelak benar-benar berasaskan keperluan penduduk.
“Alhamdulillah, sepanjang lima hari ini perjalanan kempen sangat baik dan sambutan daripada masyarakat juga cukup menggalakkan.
“Jentera kita bekerja tanpa mengenal penat. Selain Wanita, Pemuda dan Puteri, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut bersama membantu memastikan gerak kerja kempen berjalan lancar,” katanya.
Menurut Sumali, kelebihan sebagai anak tempatan turut memudahkannya mendekati masyarakat kerana kebanyakan penduduk telah lama mengenalinya, sama ada sebagai rakan sekolah, jiran, saudara-mara mahupun kenalan yang sering ditemui di kedai kopi.
Katanya, hubungan yang telah lama terjalin itu menjadikan setiap kunjungan lebih mesra selain membuka ruang kepada penduduk berkongsi pelbagai isu yang dihadapi tanpa sebarang kekok.
“Di mana-mana kita pergi, ada sahaja kenalan lama, saudara-mara atau orang yang pernah bersekolah bersama. Hubungan itu memudahkan saya mendekati pengundi dan mendengar sendiri apa yang mereka harapkan daripada seorang wakil rakyat.
“Bila mereka mengenali kita, mereka lebih selesa berkongsi masalah dan pandangan. Bagi saya, itu lebih penting kerana kita mahu memahami sendiri apa yang benar-benar diperlukan oleh penduduk Benut,” ujarnya.

Mengulas persaingan satu lawan satu menentang calon Pakatan Harapan (PH), Sumali berkata, bacaan di peringkat akar umbi ketika ini masih memihak kepada BN, namun beliau enggan terlalu yakin kerana pengalaman pilihan raya lalu membuktikan pelbagai faktor mampu mempengaruhi keputusan pengundi.
Beliau berkata, walaupun BN mempunyai jaringan jentera yang luas sehingga ke peringkat cawangan, ia bukan jaminan kemenangan sekiranya usaha mendekati rakyat tidak diteruskan sehingga hari pengundian.
“Memang kita lihat keadaan di peringkat akar umbi masih baik untuk BN, tetapi kita tidak boleh terlalu yakin. Pengalaman lalu mengajar kita bahawa kekuatan jentera sahaja tidak semestinya diterjemahkan kepada undi.
“Sebab itu saya sentiasa mengingatkan semua supaya terus bekerja sehingga saat akhir. Kita tidak boleh mengambil mudah walaupun Benut dianggap antara kawasan yang kuat untuk BN,” tegasnya.
Menurut beliau, pendekatan kempen yang dibawa juga lebih menjurus kepada memperkenalkan perancangan dan rekod perkhidmatan BN berbanding menyerang atau memburukkan parti lawan.
“Kita tidak mahu memburukkan pihak lawan. Biarlah rakyat membuat penilaian sendiri. Tanggungjawab kita ialah menjelaskan apa yang telah dilakukan serta apa yang ingin kita tawarkan kepada rakyat,” katanya lagi.

Mengulas perancangannya sekiranya diberikan mandat mewakili Benut, Sumali berkata, aspek ekonomi setempat akan menjadi antara keutamaan selain memperkukuhkan peluang kepada golongan muda melalui pendidikan, latihan kemahiran dan peluang pekerjaan yang lebih baik.
Beliau berkata, segala usaha baik yang telah dimulakan pemimpin BN terdahulu akan diteruskan, namun pada masa sama beliau mahu membawa pendekatan baharu yang lebih dekat dengan keperluan semasa penduduk serta potensi pembangunan Benut.
“Bagi saya, membangunkan kawasan juga seperti membina sebuah pasukan yang berjaya. Kita perlu ada matlamat yang jelas, saling mempercayai dan bergerak bersama.
“Itulah pendekatan yang saya mahu bawa ke Benut. Apa sahaja yang dirancang nanti mestilah memberi manfaat kepada rakyat dan memastikan kawasan ini terus maju untuk generasi akan datang,” katanya. – MalaysiaGazette
















