KUALA LUMPUR – Tidak berpuas hati ditegur menghalang laluan jalan, dipercayai menjadi punca 12 lelaki ditahan susulan kes pergaduhan dan rusuhan di kawasan parkir sebuah pusat beli belah di Cheras di sini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, kesemua suspek warga tempatan itu diberkas menerusi tiga serbuan secara berasingan di sekitar ibu negara pada 29 Jun lalu.
Katanya, tangkapan dibuat susulan laporan yang diterima daripada salah seorang daripada mereka yang mengalami kecederaan ringan dibahagian anggota tubuh badan.
“Siasatan mendapati, pergaduhan berpunca daripada rasa tidak puas hati salah selepas seorang pekerja di kawasan terbabit menegur agar tidak menghalang laluan jalan.
“Kemudian keadaan itu bertukar menjadi pertengkaran mulut dan pergaduhan antara kedua-dua pihak,”katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Fadil, kesemua tangkapan telah ditahan reman sehingga 30 Jun lalu bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh secara beramai-ramai di tempat awam,” jelasnya. – MalaysiaGazette
















