Azam Baki

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki merupakan anggota Lembaga Penasihat Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) sejak 20 September 2024.

Ketua Pengarah NFCC, Datuk Seri Shamshun Baharin Mohd Jamil berkata, Azam dilantik atas kapasiti individu dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong bagi  tempoh tiga tahun hingga 19 September 2027.

Penjelasan tersebut dibuat ekoran persoalan yang dibangkitkan pelbagai pihak berhubung kehadiran Azam dalam Mesyuarat Lembaga Penasihat NFCC pada 30 Jun lalu.

“Keanggotaan beliau dalam Lembaga Penasihat NFCC tidak terikat kepada jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM dan kekal berkuat kuasa sehingga tamat tempoh pelantikan, melainkan ditamatkan lebih awal oleh Yang di-Pertuan Agong,” katanya dalam kenyataan.

NFCC turut menjelaskan bahawa kehadiran Azam dalam mesyuarat Lembaga Penasihat pada 30 Jun selaras dengan peruntukan Akta Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional 2025 (Akta 822) kerana beliau merupakan anggota lembaga yang sah.

Baru-baru ini tular gambar mesyuarat berkenaan yang turut dihadiri oleh Azam.

Semalam, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin mempersoalkan justifikasi kerajaan melantik Azam sebagai anggota Lembaga Penasihat NFCC.

Artikel berkaitan: MCA gesa kerajaan perjelas dakwaan lantikan Azam Baki sebagai Penasihat NFCC

Beliau berkata, kerajaan perlu memberikan penjelasan memandangkan Azam sebelum ini dikaitkan dengan beberapa kontroversi yang menjadi perhatian umum.

Sebelum itu, beberapa pihak termasuk Pemuda MCA turut menggesa kerajaan menjelaskan dakwaan pelantikan tersebut selepas nama Azam disenaraikan sebagai anggota Lembaga Penasihat NFCC di laman web rasmi agensi berkenaan.

Azam menamatkan perkhidmatannya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM baru-baru ini selepas menerajui suruhanjaya itu sejak 2020.

Kontroversi berkaitan beliau kembali menjadi perhatian tahun ini susulan laporan mengenai dakwaan pemilikan saham serta dakwaan penyalahgunaan institusi.

Kerajaan kemudian menubuhkan Jawatankuasa Khas yang dipengerusikan Peguam Negara bagi meneliti dakwaan tersebut sebelum laporan siasatan dibentangkan kepada Jemaah Menteri.

Dalam kenyataan hari ini, NFCC bagaimanapun menegaskan isu berhubung keanggotaan Azam dalam Lembaga Penasihat adalah berasingan daripada jawatan beliau sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM kerana pelantikan itu dibuat secara peribadi dan mempunyai tempoh yang telah ditetapkan sehingga September 2027. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast