MALAYSIA telah lama dikenali sebagai antara pengeksport perabot utama dunia. Industri ini bukan sahaja menjana nilai eksport melebihi RM10 bilion setahun, malah terus menjadi penyumbang penting kepada ekonomi negara. Tahun lalu, eksport perabot Malaysia ke Amerika Syarikat meningkat 1.6 peratus kepada RM6.15 bilion, disokong pertumbuhan kukuh dalam eksport komponen perabot dan perabot kayu. Pada masa yang sama, pasaran baharu seperti India, Puerto Rico dan Arab Saudi turut menunjukkan peningkatan permintaan
yang memberangsangkan.
Di samping itu, industri kayu dan produk berasaskan kayu negara menyumbang lebih RM20 bilion nilai eksport setiap tahun dan kekal sebagai penyumbang ketiga terbesar kepada eksport komoditi negara. Kerajaan pula menyasarkan nilai eksport sektor ini mencecah RM32.8 bilion menjelang 2030. Namun, untuk mencapai sasaran tersebut, industri perlu bergerak melangkaui pendekatan konvensional dan mula meneroka bahan alternatif yang lebih lestari serta bernilai tinggi. Dalam konteks inilah buluh semakin mendapat perhatian sebagai bahan strategik yang berpotensi mengubah landskap industri perabot negara.
Malah, Menteri Perladangan dan Komoditi ketika merasmikan Malaysian International Furniture Fair (MIFF) 2026 menegaskan bahawa industri perabot perlu beralih kepada penciptaan nilai tinggi melalui penggunaan bahan mampan alternatif termasuk buluh dan biomas berasaskan pertanian. Kenyataan tersebut bukan sekadar aspirasi dasar, tetapi mencerminkan realiti pasaran global yang semakin menuntut produk lestari, rendah karbon dan mempunyai sumber bahan mentah yang lebih bertanggungjawab.
Persoalannya, sejauh mana industri perabot Malaysia benar-benar bersedia untuk menerima perubahan ini?
Bagi menjawab persoalan tersebut, satu kajian telah dijalankan melibatkan 228 pengeluar perabot dari seluruh Malaysia dalam tempoh tiga bulan. Majoriti responden berasal dari Johor, khususnya kawasan Muar yang dikenali sebagai’Bandar Perabot Malaysia’. Kedudukan Johor sebagai hab utama industri perabot negara menjadikan negeri ini lokasi yang signifikan untuk menilai kesiapsiagaan industri terhadap penggunaan bahan baharu seperti buluh komposit.
Muar sendiri menempatkan kira-kira 800 kilang perabot yang menyumbang antara 55 hingga 60 peratus daripada jumlah eksport perabot negara. Setiap bulan, dianggarkan antara 7,000 hingga 8,000 kontena produk perabot dihantar ke pasaran antarabangsa. Tidak keterlaluan untuk mengatakan masa depan industri perabot Malaysia banyak bergantung kepada keupayaan pemain industri di kawasan ini menyesuaikan diri dengan perubahan pasaran global.
Hasil kajian menunjukkan bahawa tahap kesedaran industri terhadap penggunaan buluh komposit berada pada skor 3.420 daripada 5.0, manakala tahap kesediaan industri mencatat skor 3.243. Kedua-duanya berada pada tahap sederhana. Secara keseluruhannya, industri boleh dikategorikan sebagai ‘Emerging Adopter’ iaitu kumpulan yang telah mengenal pasti potensi sesuatu inovasi tetapi masih belum mencapai tahap pelaksanaan yang matang.
Menariknya, aspek yang memperoleh skor tertinggi ialah sifat material buluh dengan skor 3.624. Dapatan ini menunjukkan bahawa pemain industri mengiktiraf kekuatan, ketahanan dan kesesuaian buluh untuk aplikasi perabot dan produk komposit. Aspek kelestarian turut mencatat skor tinggi iaitu 3.616, diikuti potensi pemprosesan pada skor 3.595.
Dapatan ini memberikan gambaran yang jelas bahawa masalah utama bukan lagi terletak pada tahap kesedaran. Industri sebenarnya sudah memahami kelebihan buluh sebagai sumber yang boleh diperbaharui, mempunyai kadar pertumbuhan yang pantas dan berpotensi menyokong agenda ekonomi hijau. Sebaliknya, cabaran sebenar terletak pada aspek pelaksanaan.
Kajian mendapati skor terendah direkodkan bagi dimensi pematuhan peraturan dan pensijilan iaitu 3.162. Aspek modal insan pula mencatat skor 3.175, manakala komitmen organisasi terhadap kelestarian berada pada skor 3.189. Jurang antara skor tertinggi dan terendah ini menunjukkan bahawa walaupun industri mengiktiraf kelebihan buluh, masih terdapat kekangan dari segi kemahiran, keupayaan organisasi, sokongan teknikal dan kejelasan kerangka pematuhan untuk melaksanakan penggunaan buluh secara meluas.
Penemuan ini selari dengan kedudukan semasa industri buluh negara. Statistik rasmi menunjukkan bahawa pada tahun 2023, eksport produk buluh Malaysia bernilai RM20.09 juta, meningkat hampir 39 peratus berbanding tahun sebelumnya. Walau bagaimanapun, negara masih mengimport produk buluh bernilai lebih RM108 juta setahun, menunjukkan bahawa kapasiti industri hiliran tempatan masih belum berkembang sepenuhnya.
Lebih menarik, daripada 577 pengusaha yang terlibat secara langsung dalam industri berasaskan buluh di Malaysia, hanya tujuh syarikat sahaja terlibat dalam sektor perabot. Angka ini amat kecil berbanding sektor kraftangan yang melibatkan lebih 500 pengusaha. Keadaan ini menunjukkan bahawa potensi pengembangan industri perabot berasaskan buluh masih sangat besar dan belum diterokai secara menyeluruh.
Pada masa yang sama, pasaran global terus berkembang pesat. Menurut Kementerian Perladangan dan Komoditi, industri buluh dunia yang bernilai sekitar AS$70.6 bilion pada tahun 2023 dijangka meningkat kepada hampir AS$100 bilion menjelang 2028. Beberapa laporan pasaran antarabangsa pula mengunjurkan nilainya boleh mencecah lebih AS$117 bilion menjelang 2034.
Persoalannya, adakah Malaysia bersedia untuk merebut peluang tersebut? Potensi buluh sebagai bahan strategik untuk industri perabot turut disokong oleh pelbagai usaha penyelidikan yang sedang dijalankan di negara ini.
Dalam satu projek penyelidikan multidisiplin di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), aspek pembangunan industri buluh dikaji secara menyeluruh merangkumi kesediaan dan tahap kesedaran industri perabot terhadap penggunaan buluh komposit, pembangunan bahan komposit berasaskan buluh untuk aplikasi perabot, serta kesediaan petani untuk terlibat dalam penanaman buluh sebagai sumber bahan mentah.
Pendekatan ini penting kerana pembangunan industri buluh tidak boleh dilihat hanya dari sudut produk semata-mata. Kejayaannya bergantung kepada keseluruhan rantaian nilai yang menghubungkan pengeluaran bahan mentah, teknologi pemprosesan dan penerimaan pasaran.
Bagi komponen pembangunan bahan, penyelidikan menggunakan buluh madu (Gigantochloa albociliata) yang ditanam di Ladang Buluh UTHM Pagoh menunjukkan spesies tempatan tersebut mempunyai potensi untuk dibangunkan sebagai bahan komposit bagi aplikasi perabot. Ladang Buluh UTHM Pagoh yang terletak di Hab Pendidikan Tinggi Pagoh, Johor merupakan hab penyelidikan dan pembangunan buluh yang beroperasi di bawah Bamboo Research Centre (BambooRC), Fakulti Teknologi Kejuruteraan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).
Pada masa yang sama, kajian berkaitan petani pula membantu mengenal pasti tahap minat dan potensi penglibatan komuniti dalam penanaman buluh secara komersial bagi menyokong keperluan industri pada masa hadapan. Gabungan ketiga-tiga komponen penyelidikan ini menunjukkan bahawa pembangunan industri buluh memerlukan pendekatan ekosistem yang lengkap. Dalam erti kata lain, pembangunan industri buluh perlu bergerak daripada ladang ke perabot dengan petani, penyelidik dan pemain industri memainkan peranan yang saling melengkapi.
Sejarah industri perabot Malaysia sendiri menunjukkan bahan yang pernah dianggap alternatif akhirnya boleh menjadi arus perdana. Kayu getah, yang suatu ketika dahulu hanya digunakan sebagai kayu api, kini menjadi antara bahan utama yang menyokong kejayaan eksport perabot negara. Buluh berpotensi mengikuti trajektori yang sama sekiranya ekosistem sokongan yang sesuai dapat diwujudkan.
Berdasarkan dapatan kajian, cabaran utama bukan lagi kekurangan kesedaran terhadap potensi buluh. Industri sudah memahami manfaatnya. Yang diperlukan sekarang ialah usaha merapatkan jurang antara pengetahuan dan tindakan melalui pembangunan kemahiran, pengukuhan rantaian bekalan, sokongan pembiayaan, pembangunan standard serta laluan pensijilan yang lebih jelas.
Buluh bukan lagi pilihan marginal. Ia sedang muncul sebagai salah satu bahan strategik yang mampu membantu industri perabot Malaysia mengekalkan daya saing dalam era ekonomi hijau dan perdagangan lestari. Persoalannya kini bukan sama ada industri mampu menerima perubahan itu, tetapi sama ada kita bersedia membangunkan keseluruhan ekosistem industri buluh negara sebelum peluang tersebut direbut oleh negara pesaing. Cabaran utama bukan lagi untuk meyakinkan industri tentang potensi buluh. Cabaran sebenar adalah membina ekosistem yang mampu menghubungkan petani, penyelidik dan industri dalam satu rantaian nilai yang mampan.
Oleh: Noor Aslinda Abu Seman,
Pensyarah Kanan, Johor Business School,
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia.
Juliana Abdul Halip,
Pensyarah Kanan/Penyelidik,
Fakulti Teknologi Kejuteraan/Bamboo
Research Centre,
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia.
Nurazwa Ahmad,
Pensyarah Kanan, Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan,
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia
Penulis merupakan Pensyarah Kanan di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM). Pandangan yang dikemukakan adalah berdasarkan hasil penyelidikan penulis dan tidak
semestinya mencerminkan pendirian institusi.
















