Calon Bebas N.14 Bukit Naning, S Jeganathan menyantuni penduduk serta mengedarkan risalah manifesto sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 ketika di Bakri, Muar, Johor. Foto MOHD ADZLAN, 03 JULAI 2026.

MUAR – ‘Perang’ bendera, kain rentang dan risalah bukan ukuran kejayaan seseorang calon dalam memenangi hati rakyat, sebaliknya rekod perkhidmatan serta keupayaan menyelesaikan masalah penduduk menjadi penilaian sebenar.

Calon Bebas Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Naning, S. Jeghanaathan, 57, berkata, pemimpin yang benar-benar berkhidmat tidak memerlukan publisiti berlebihan kerana rakyat sendiri mengenali hasil kerja mereka.

Menurutnya yang fasih berbahasa Mandarin, perbelanjaan untuk bahan kempen seperti kain rentang dan risalah lebih baik dimanfaatkan bagi membantu menyelesaikan masalah rakyat.

“Kalau wakil rakyat betul-betul buat kerja, rakyat sudah kenal siapa dia jadi tak perlulah pasang terlalu banyak kain rentang atau edar risalah kerana ianya satu pembaziran.

“Ukuran kejayaan bukan pada banyaknya bahan kempen, tetapi sejauh dan selama mana kita telah bersama mereka.

“Malah kalau sudah sentiasa bersama rakyat, tak perlu tunggu Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri atau menteri datang berkempen untuk memperkenalkan calon,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui pada kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Pengerusi Persatuan Kebajikan dan Sosial Kaum India Bakri Muar itu berkata, beliau percaya hubungan yang dibina melalui khidmat kepada masyarakat yang dilakukannya sejak 2008 lebih bermakna berbanding kempen berskala besar.

Dalam pada itu Jeghanaathan berkata, bantuan kebajikan seperti bakul makanan tidak seharusnya dijadikan amalan bagi menangani kos sara hidup rakyat sebaliknya kerajaan perlu mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.

“Hari ini bagi 200 kampit beras, tahun depan jadi 300 pula sedangkan sepatutnya kita kurangkan kebergantungan kepada bantuan seperti itu.

“Bukan tak boleh beri bantuan, tetapi jangan jadikan rakyat seperti pengemis. Apa yang lebih penting ialah beri rakyat ‘pancing’ dengan menyediakan peluang pekerjaan dan sumber pendapatan yang lebih baik,” katanya.

Calon Bebas N.14 Bukit Naning, S Jeganathan menyantuni penduduk serta mengedarkan risalah manifesto sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 ketika di Bakri, Muar, Johor. Foto MOHD ADZLAN, 03 JULAI 2026.

Menurutnya, Bukit Naning mempunyai potensi ekonomi yang boleh diteroka termasuk membangunkan industri hiliran berasaskan nanas bagi membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

Jeghanaathan merupakan ahli perniagaan yang pertama kali bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) sebagai calon Bebas di DUN Bukit Naning dan memperoleh 364 undi.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022, beliau sekali lagi bertanding di kerusi sama dan meningkatkan sokongan kepada 1,514 undi.

Beliau kemudian mencuba nasib pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Simpang Jeram susulan kematian penyandangnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub, namun memperoleh 311 undi.

PRN Johor kali ini menyaksikan Jeghanaathan kembali bertanding di DUN Bukit Naning dalam saingan lima penjuru. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast