P. Ramasamy.

 

KUALA LUMPUR – Pengerusi Urimai, P. Ramasamy mempersoalkan ketegasan DAP dalam mempertahankan pendiriannya terhadap isu melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Menurutnya, tidak menjadi masalah jika DAP mahu terus berpegang kepada pendiriannya kerana tiada siapa yang meminta parti tersebut melonggarkan pendiriannya.

Namun, katanya, persoalan sebenar bukanlah sama ada Najib sepatutnya disabitkan kesalahan atau tidak, tetapi sama ada beliau wajar diberikan pengampunan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Beliau berkata, keputusan mengenai pengampunan merupakan prerogatif Yang di-Pertuan Agong dan bukannya berada dalam bidang kuasa mana-mana parti politik.

Katanya, jika DAP benar-benar mahu berpegang kepada prinsipĀ  individu yang pernah disabitkan kesalahan tidak seharusnya disokong, parti itu juga perlu mengambil kira bahawa Anwar pernah disabitkan kesalahan sebelum menerima pengampunan diraja.

“Jika DAP benar-benar berprinsip terhadap Najib, mengapa parti itu membentuk kerajaan campuran dengan Anwar sebagai Perdana Menteri?” soalnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke baru-baru ini bahawa parti itu tidak akan berkompromi dengan pendiriannya terhadap Najib dan menyokong keputusan mahkamah yang mensabitkan bekas Perdana Menteri itu dalam kes 1MDB.

Beliau berkata, kedua-dua Anwar dan Najib pernah disabitkan kesalahan, namun Anwar telah diberikan pengampunan diraja, justeru Najib juga sepatutnya dipertimbangkan untuk menerima layanan yang sama.

Ramasamy turut mempersoalkan sama ada DAP menentang pelaksanaan kuasa pengampunan diraja sedangkan perkara itu bukan berada di bawah bidang kuasa parti tersebut.

“Tidakkah DAP, berdasarkan pendiriannya yang kononnya tidak mahu mempunyai hubungan dengan individu yang pernah disabitkan kesalahan, sepatutnya menamatkan kerjasamanya dengan Anwar?

“Kedua-dua Anwar dan Najib pernah disabitkan kesalahan, tetapi Anwar telah diberikan pengampunan. Tidakkah Najib juga patut dipertimbangkan untuk menerima pengampunan diraja?,” soal beliau lagi.

Hakikatnya, dakwa Ramasamy, DAP telah lama mengorbankan prinsip perjuangannya apabila memilih untuk bekerjasama dengan UMNO dalam Kerajaan Persekutuan.

Menurutnya, sekiranya UMNO benar-benar dianggap tidak boleh diterima, DAP sepatutnya menarik diri daripada kerajaan.

Beliau turut membangkitkan persoalan mengenai hala tuju perjuangan DAP, termasuk slogan “Malaysian Malaysia” yang menurutnya pernah menjadi teras politik parti itu.

Selain itu, Ramasamy mempersoalkan sama ada DAP masih mampu mengekalkan pengaruhnya di Semenanjung Malaysia selepas prestasi parti itu di Sabah pada pilihan raya negeri yang lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast