SYDNEY – Rondaan dron dari waktu subuh hingga senja di pantai-pantai sekitar Sydney mengesan sebanyak 73 kemunculan jerung dalam tempoh dua hari pertama pelaksanaannya, sekali gus memaksa beberapa pantai ditutup demi keselamatan orang awam.
Program rondaan dron yang diperluaskan itu dilancarkan pada hari Rabu bagi melindungi pengunjung pantai susulan beberapa insiden serangan jerung di Sydney dan kawasan lain di negeri New South Wales.
Data daripada Surf Life Saving New South Wales (NSW), agensi yang mengendalikan program berkenaan, menunjukkan juruterbang dron mengesan 73 kemunculan jerung di sekitar Sydney pada Rabu dan Khamis.
Sebanyak 67 daripada kesan itu direkodkan di pantai-pantai utara Sydney, yang menjadi lokasi tumpuan kemunculan jerung.
Dron hanya melaporkan kehadiran jerung spesies bull shark, harimau tiger shark dan great white shark, iaitu spesies yang dianggap paling berisiko menyerang manusia.
Menurut penyelamat pantai, berkemungkinan terdapat jerung yang sama dikesan berulang kali ketika berenang di kawasan perairan itu.
Bagaimanapun, sekumpulan 13 ekor jerung dilaporkan berenang bersama di Pantai South Narrabeen, utara Sydney, pada hari Rabu.
Jurucakap Surf Life Saving NSW, Donna Wishart berkata, penggunaan lebih banyak dron sepanjang hari membolehkan lebih banyak kehadiran jerung dikesan.
Di Pantai Dee Why, pemilik Dee Why Salty Surf School, Dan O’Connell berkata, kelas luncur air yang dikendalikannya terpaksa dihentikan selepas dron mengesan seekor jerung berhampiran pantai, menyebabkan penyelamat mengarahkan semua orang keluar dari air buat kali kedua pada hari yang sama.
Katanya, pelajarnya sudah pun berasa takut selepas pantai ditutup lebih awal akibat kemunculan jerung.
Beliau menjangkakan penutupan pantai akan menjadi lebih kerap dan kini mula mempelbagaikan perniagaannya dengan menawarkan kelas skateboard di kawasan parkir berhampiran.
Menurut O’Connell, beberapa kumpulan sekolah turut membatalkan kelas luncur air selepas seorang kanak-kanak maut diserang jerung di Sydney Harbour pada Januari lalu, manakala seorang wanita cedera parah dalam serangan di Pantai Coogee bulan lalu.
Datuk Bandar Northern Beaches, Sue Heins berkata, jutaan pelancong mengunjungi pantai Sydney setiap tahun dan penggunaan dron membantu meningkatkan aspek keselamatan.
Beliau bagaimanapun mengakui peningkatan pemantauan secara automatik akan menyebabkan lebih banyak kemunculan jerung direkodkan.
Perdana Menteri New South Wales, Chris Minns sebelum ini berkata, perenang dan peluncur ombak perlu membiasakan diri meninggalkan air apabila diarahkan, susulan pelaksanaan program pemantauan dron terbesar di dunia.
Pakar jerung dari Bond University, Profesor Madya Daryl McPhee berkata, peningkatan jumlah jerung disebabkan kehadiran sumber makanan ikan itu, termasuk populasi paus bungkuk dan ikan salmon yang semakin bertambah.
Menurut pangkalan data interaksi manusia dan jerung di Australia, hampir 1,300 insiden membabitkan jerung direkodkan sejak 1791, dengan lebih 260 daripadanya mengakibatkan kematian. – Agensi
















