KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Harapan (AMH) menyelar Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh yang didakwa cuba menggambarkan ekonomi Johor sebagai terbaik di Malaysia tanpa memahami konteks sebenar data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Pengarah Komunikasinya, Ammar Atan berkata, pada hakikatnya, Selangor adalah penyumbang utama kepada ekonomi negara iaitu 26.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia untuk tahun 2025, manakal Johor hanya menyumbang sekitar 9.8 peratus.
Ujarnya, saiz ekonomi Selangor pula berkembang sebanyak RM27.2 bilion pada tahun 2025 berbanding Johor hanya RM12.6 bilion, iaitu kurang daripada separuh pertumbuhan ekonomi Selangor.
“Data yang digunakan oleh Akmal untuk menggambarkan Johor sebagai ekonomi terbaik mengukur pertumbuhan ekonomi berdasarkan peratusan.
“Malangnya, Akmal tidak memahami low-base effect. Ekonomi yang bersaiz kecil dapat merekodkan peratusan pertumbuhan yang lebih tinggi dengan lebih mudah kerana low-base effect,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ammar turut mengambil contoh data Bank Dunia yang menunjukkan ekonomi Uganda berkembang 6.3 peratus pada tahun 2025, manakala ekonomi Amerika Syarikat (AS) hanya menyaksikan kenaikan 2.2 peratus.
“Kalau mengikut logik akal Ketua Pemuda UMNO, ekonomi Uganda adalah lebih hebat daripada Amerika Syarikat,” katanya.
Menjelaskan lebih lanjut, Ammar berkata, jika pertumbuhan ekonomi Johor diselidik dengan lebih teliti, ia sebenarnya dipacu oleh subsektor seperti utiliti dan teknologi maklumat (ICT).
Katanya, ini bermaksud pelaburan mega ke dalam pusat data ataupun data centres memainkan peranan utama dalam memacu ekonomi Johor.
Namun, ujarnya, pelaburan pusat data walaupun besar dari segi nilai, tidak dapat mewujudkan mempelbagaikan peluang pekerjaan.
Buktinya, tambah beliau, data MIDA untuk tahun 2025 menunjukkan bahawa pelaburan diluluskan di Johor bernilai RM110 bilion, yang sebahagian besarnya adalah pelaburan pusat data, hanya berpeluang mencipta 24,584 pekerjaan.
“Tetapi di Selangor, pelaburan diluluskan sebanyak hampir RM84 bilion berpeluang mencipta 61,311 pekerjaan. Di Pulau Pinang, pelaburan diluluskan RM32.9 bilion dijangka menjana 28,570 pekerjaan,” katanya.
Sehubungan itu, tambah Ammar, Kerajaan UMNO Johor ketinggalan di belakang Selangor dan Pulau Pinang akibat terlalu bergantung kepada pelaburan pusat data tanpa usaha kerajaan negeri untuk mempelbagaikan pelaburan dalam sektor pembuatan yang berpotensi mencipta lebih banyak pekerjaan.
Maka, ujarnya, timbul persoalan siapa sebenarnya yang dibantu menerusi pertumbuhan ekonomi Johor sekiranya bangsa Johor sendiri tidak dapat menikmati manfaat sepenuhnya.
“Ini merupakan bukti kegagalan kerajaan negeri pimpinan UMNO. Bangsa Johor berhak memperoleh masa depan yang lebih baik, dan yang pasti, UMNO tidak dapat menjanjikan perkara tersebut,” katanya.
Sehubungan itu, tambahnya, Pakatan Harapan (PH) komited untuk membaiki kebocoran di Johor yang ditinggalkan UMNO dan Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 11 Julai ini merupakan peluang terbaik bangsa Johor untuk masa depan yang lebih cerah. – MalaysiaGazette















