Hishammudin bersama masyarakat Orang Asli di Kahang, hari ini.

KAHANG – Jentera Barisan Nasional (BN) dan masyarakat setempat diingatkan agar tidak terperangkap dengan politik sempit pihak tertentu yang sengaja memainkan sentimen perkauman dan keagamaan sepanjang tempoh berkempen bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16.

Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, taktik ‘kempen berbisik’ menggunakan naratif sensitif itu dikesan mula dimainkan pihak lawan semata-mata demi meraih kepentingan politik dan undi.

“Apa yang berlaku di Sembrong, Kahang dan Paloh sebenarnya unik di dunia. Acuan kepimpinan di Sembrong merangkumi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kahang dan Paloh merupakan model terbaik keharmonian berbilang kaum yang seharusnya dipertahankan daripada dicemari doktrin ekstrem sedemikian,” katanya selepas hadir program bersama warga Orang Asli di sini hari ini.

Kata Hishammuddin, bukan satu perkara yang rahsia seluruh negara bercakap mengenai isu perkauman.

“Saya percaya dalam musim kempen ini, cara kempen berbisik-bisik akan berterusan. Pemikiran pengundi Sembrong sangat lain, saya Parlimen orang Melayu, di DUN Kahang calon kita India (MIC) dan di DUN Paloh pula, Cina.

“Jadi, kalau tiga kaum dan agama ini boleh bekerjasama rapat dan berkhidmat untuk rakyat tanpa mengira kedudukan, warna kulit dan agama, saya rasa kita boleh dijadikan contoh kepada mereka yang suka menggoda gunakan isu perkauman dan keagamaan semata-mata untuk kepentingan politik,” katanya lagi.

Hishamuddin bersma calon BN DUN N31 Kahang, V Rugendran dalam satu program bersama masyarakat oprang Asli di Kahang, hari ini.

Mengulas mengenai hasrat awal UMNO yang sebelum ini menyuarakan permintaan untuk beliau bertanding di kerusi DUN Kahang memandangkan jumlah pengundi Melayu yang besar di kawasan tersebut, Hishammuddin menyifatkan perkara itu sebagai lumrah peringkat akar umbi.

“Disiplin parti mengatasi segala-galanya dan sebarang keputusan yang telah dimuktamadkan oleh pucuk pimpinan wajib dipatuhi demi memastikan kelangsungan kemenangan BN.

“Peringkat awal, memang kita tengok majoriti mereka yang mengundi di Kahang ini besar juga jumlah Melayu dan permintaan kali ini mungkin untuk dipertimbangkan oleh pucuk pimpinan untuk memberi ruang kepada UMNO bertanding.

“Mungkin kali ini tak dapat, lain kali pula tetapi pucuk pimpinan telah pun membuat keputusan parti mana yang bertanding dan calon siapa yang menawarkan diri.

“Boleh lihat jentera kita ini, bila keputusan sudah dibuat, kita rapatkan barisan. Kita buat kerja sehinggalah 11 Julai, tarikh pengundian nanti,” ujarnya lagi.

Menyentuh mengenai gerak kerja parti komponen, Hishammuddin memberi jaminan MIC memberikan komitmen yang sangat padu bagi mempertahankan kerusi berkenaan sekali gus menepis persepsi bahawa bebanan berkempen hanya diletakkan di bahu jentera UMNO.

Sambil berseloroh mengenai hubungan akrabnya dengan Presiden MIC, Tan Sri Vigneswaran, Hishamuddin yakin kehadiran pimpinan tertinggi parti komponen itu akan terus melonjakkan momentum kemenangan calon BN di Kahang.

” Vicky dan saya rapat. Saya telefon malam ini, esok dia datang. Beliau mesti turun, takkan nak harapkan UMNO sahaja nak menangkan calon MIC?” selorohnya.

Fokus saingan di DUN N31 Kahang kali ini menyaksikan pertembungan tiga penjuru yang melibatkan 29,814 pengundi berdaftar.

Kerusi tradisi MIC yang tidak pernah kalah sejak tahun 2004 itu menyaksikan BN mempertaruhkan muka baharu, V. Rugendran bagi mempertahankan kubu kuat berkenaan.

Rugendran dicabar Mohd Sabri Abd Kadir dari Pakatan Harapan (PH) serta bekas Exco Johor, Mazlan Bujang dari Perikatan Nasional (PN-Pas).

Sebagai rekod, pada PRN Johor sebelum ini, kerusi DUN Kahang telah dimenangi oleh penyandang empat penggal daripada BN, R. Vidyananthan dengan majoriti selesa sebanyak 6,698 undi menumpaskan pencabar-pencabarnya.

Suruhanjaya Pilihan Raya telah menetapkan 11 Julai 2026 sebagai hari pengundian bagi PRN Johor Ke-16, manakala hari pengundian awal pula akan berlangsung pada 7 Julai 2026. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast