Tan Sri Azam Baki

KUALA LUMPUR – Sebarang persepsi, dakwaan atau kontroversi terhadap mana-mana individu tidak sewajarnya dijadikan hukuman awam tanpa melalui proses sewajarnya (due process) dan keputusan institusi berautoriti.

Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, ia termasuk dalam soal lantikan Tan Sri Azam Baki sebagai Ahli Lembaga Penasihat Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC).

Menurutnya, apa yang lebih penting adalah negara perlu terus memperkukuhkan mekanisme pelantikan ke badan-badan berkaitan integriti melalui kriteria yang jelas, proses tapisan yang telus dan komunikasi awam yang berkesan.

kenderaan kerajaan Malaysia CPI budaya politik imigresen sempadan rakyat rasuah
Jais Abdul Karim

Jelas beliau, ini supaya tidak timbul ruang keraguan terhadap institusi yang diberi amanah memerangi jenayah kewangan serta rasuah.

Tambahnya, MCW berpandangan dalam menilai isu lantikan Azam itu, dua perkara perlu dipisahkan secara jelas iaitu aspek kesahan pelantikan dari sudut undang-undang dan aspek persepsi serta keyakinan awam terhadap institusi integriti negara.

“Berdasarkan penjelasan NFCC, pelantikan Azam dibuat atas kapasiti individu bagi tempoh tiga tahun bermula 20 September 2024 hingga 19 September 2027 dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong, dan tidak terikat kepada jawatan beliau sebagai Ketua Pesuruhjaya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika itu.

“Oleh itu, dari sudut perundangan, kedudukan beliau perlu dilihat berdasarkan peruntukan Akta Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional 2019 (Akta 822),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mengulas mengenai persoalan yang dibangkitkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berhubung justifikasi pelantikan Azam sebagai penasihat NFCC, memandangkan Azam terpalit dengan beberapa isu termasuk skandal berkaitan korporat mafia dan pemilikan saham.

Sementara itu, Jais berkata, pihaknya menghormati hak mana-mana pihak termasuk Ahli Parlimen untuk membangkitkan persoalan berhubung pelantikan ke institusi penting negara kerana prinsip semak dan imbang adalah sebahagian daripada amalan demokrasi yang sihat.

Namun, dalam masa sama, ujarnya, MCW menyeru semua pihak supaya menghormati kedaulatan undang-undang, mempertahankan prinsip integriti institusi dan memastikan sebarang perbahasan dibuat secara profesional demi kepentingan negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.