Ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Mohd Nafuzi Zain. (Kredit : Laman Facebook Terengganu FC)

KUALA NERUS – Ketua jurulatih Terengganu FC (TFC) yang baharu Mohd Nafuzi Zain melahirkan rasa gembira dan syukur apabila diberi peluang kembali membimbing skuad Penyu bagi musim 2026/2027 yang akan membuka tirai Ogos depan.

Pengendali kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu berkata tawaran untuk kembali menerajui TFC sememangnya ditunggu-tunggu sejak sekian lama.

Beliau berkata kelab itu mempunyai nilai sentimental yang cukup besar dalam perjalanan kerjayanya, hingga disifatkan sebagai sebahagian daripada dirinya.

“Saya sangat bersyukur dapat kembali setelah meninggalkan Terengganu pada 2022. Saya sebenarnya menyimpan satu keazaman untuk kembali ke sini (Terengganu) suatu hari nanti.

“Bagi saya TFC adalah diri saya sendiri. Perjalanan kerjaya saya di Terengganu agak panjang…sebagai pemain, pembantu jurulatih dan ketua jurulatih pada pertengahan 2019 hingga musim 2022,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Nafuzi berkata TFC sudah membuat persiapan rapi bagi mengharungi cabaran Liga Malaysia (Liga M) yang lebih sengit serta mencabar musim ini.

Justeru, bekas jurulatih skuad kebangsaan bawah 23 tahun (B-23) itu berazam untuk menggunakan setiap pengalaman dan ilmu dipelajari di luar, bagi membina skuad baharu yang lebih kuat serta mantap dalam jangka masa panjang.

“Terima kasih kepada pengerusi dan ahli lembaga pengarah TFC yang memberi kepercayaan. Insya-Allah saya akan manfaatkan pengalaman sepanjang berada di luar untuk membawa TFC ke tahap terbaik.

“Saya sedar situasi sekarang tidak sama semasa saya berada di sini dahulu. Tetapi insya-Allah saya akan buat yang terbaik untuk liga. Saya harap dapat sokongan daripada semua pihak termasuk peminat untuk pastikan hasil terbaik buat pasukan,” katanya.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast