Oleh: Muhammad Afif Zakwan Azhar
TITAH Yang di-Pertuan Agong yang menyeru rakyat Malaysia agar terus menghayati dan mengamalkan Rukun Negara wajar diberi perhatian serius oleh semua lapisan masyarakat. Seruan tersebut bukan sekadar peringatan biasa, bahkan merupakan satu mesej penting bagi memastikan keharmonian, kestabilan dan perpaduan negara terus terpelihara dalam suasana masyarakat majmuk yang terdiri daripada pelbagai bangsa, agama dan budaya.
Rukun Negara yang diperkenalkan pada tahun 1970 bukanlah suatu gagasan yang diwujudkan secara kebetulan atau sekadar slogan untuk dihafal. Sebaliknya, ia dirangka sebagai panduan nasional yang bertujuan membentuk identiti rakyat Malaysia serta menjadi asas kepada pembinaan negara yang aman, bersatu padu dan progresif.
Oleh itu, setiap prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara mempunyai fungsi dan peranannya yang tersendiri dalam membentuk masyarakat yang menghormati nilai-nilai murni, menjunjung undang-undang serta mengutamakan kepentingan negara.
Lima prinsip Rukun Negara iaitu Kepercayaan kepada Tuhan, Kesetiaan kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-undang dan Kesopanan serta Kesusilaan membentuk satu kerangka yang lengkap dalam pembangunan sesebuah negara.
Prinsip-prinsip ini bukan sahaja menyentuh aspek kenegaraan dan perundangan, malah merangkumi dimensi spiritual, moral, sosial dan budaya. Keutuhan elemen-elemen ini menjadikan Rukun Negara sebagai panduan komprehensif dalam membentuk warganegara yang bertanggungjawab serta mempunyai jati diri yang kukuh.
Penghayatan Rukun Negara juga memainkan peranan penting dalam membina perpaduan dalam kalangan rakyat tanpa mengira latar belakang bangsa dan agama. Dalam era globalisasi yang menyaksikan pelbagai cabaran seperti penyebaran maklumat tidak sahih, sentimen kebencian dan polarisasi sosial, nilai-nilai yang terkandung dalam Rukun Negara mampu menjadi benteng bagi memperkukuhkan keharmonian masyarakat. Apabila setiap rakyat memahami dan mengamalkan prinsip-prinsip tersebut, maka budaya hormat-menghormati, toleransi dan semangat kebersamaan akan terus subur dalam kehidupan bermasyarakat.
Penghayatan terhadap Rukun Negara juga perlu diberi perhatian khusus oleh golongan pelajar. Sebagai generasi pewaris negara, mereka perlu memahami bahawa kecemerlangan akademik semata-mata tidak mencukupi tanpa pembentukan sahsiah dan jati diri yang kukuh. Penghayatan Rukun Negara dapat membantu melahirkan generasi yang mempunyai kesedaran sivik, semangat patriotisme serta rasa tanggungjawab terhadap keamanan dan kemajuan negara. Malah, nilai-nilai ini perlu dipupuk sejak di bangku sekolah agar menjadi sebahagian daripada budaya hidup masyarakat.
Dalam konteks pendidikan, Rukun Negara mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Falsafah Pendidikan Kebangsaan bertujuan melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.
Matlamat ini selari dengan nilai-nilai yang terkandung dalam
Rukun Negara yang menekankan aspek kepercayaan kepada Tuhan, berakhlak mulia, bertanggungjawab kepada negara dan penghormatan terhadap undang-undang. Jika Rukun Negara berfungsi sebagai panduan nilai dan prinsip kenegaraan, maka Falsafah Pendidikan Kebangsaan pula menjadi mekanisme pendidikan yang menterjemahkan nilai-nilai tersebut dalam proses pembentukan modal insan.
Kedua-duanya saling melengkapi dalam usaha melahirkan rakyat yang berilmu, berintegriti dan mampu menyumbang kepada kesejahteraan negara. Hakikatnya, penghayatan Rukun Negara tidak seharusnya terhad kepada bacaan ketika perhimpunan atau majlis rasmi semata-mata. Sebaliknya, prinsip-prinsip
tersebut perlu diterjemahkan dalam tindakan dan amalan harian setiap rakyat.
Dengan memahami makna dan hikmah di sebalik setiap prinsip, masyarakat akan lebih menghargai kepentingan perpaduan, menghormati kepelbagaian serta bersama-sama memelihara keamanan negara. Justeru, seruan Yang di-Pertuan Agong agar rakyat menghayati Rukun Negara merupakan satu amanah yang perlu disambut oleh semua pihak demi menjamin masa depan Malaysia yang lebih harmoni, bersatu dan sejahtera.
Penulis adalah Pensyarah di General Studies Department, CCE, Sunway College.
















