Tinjauan orang ramai dan pengundi di sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kempas sempena Pilihan Negeri ke-16 (PRN16) Johor pada 11 Julai 2026

JOHOR BAHRU – Isu kemudahan awam yang semakin uzur, kekurangan infrastruktur, kemudahan rekreasi serta kebajikan peniaga kecil menjadi antara harapan utama pengundi di kerusi N.47 Kempas menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Tinjauan MalaysiaGazette bersama beberapa pengundi di sekitar Kempas mendapati, walaupun kempen baru memasuki minggu pertama, rata-rata mereka berharap calon dipilih benar-benar turun padang dan menyelesaikan masalah yang berlarutan sejak sekian lama.

Peniaga kedai makanan, Muhammad Ikhwan Othman bercakap kepada MalaysiaGazette dalam tinjauan di Anjung Selera Cempaka, Kempas, Johor Bahru, hari ini.

Menurut Muhammad Ikhwan Othman, 36, isu paling mendesak ialah keadaan Klinik Kesihatan Kempas yang menurutnya sudah tidak lagi mampu menampung pertambahan penduduk.

“Penduduk semakin ramai tetapi klinik masih sempit, tempat letak kereta tidak mencukupi dan waktu menunggu terlalu lama. Orang yang tidak sakit pun boleh jadi lebih sakit kerana terpaksa menunggu lama.

“Saya berharap wakil rakyat baharu yang dipilih pada 11 Julai ini dapat memberi keutamaan kepada pembesaran atau pembinaan klinik kesihatan baharu.

“Selain itu, saya berharap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas yang baharu lebih kerap turun padang mendengar masalah penduduk,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di Anjung Selera Cempaka, Kempas hari ini.

Peniaga kedai makanan, Said Zhaidi bercakap kepada MalaysiaGazette dalam tinjauan di Anjung Selera Cempaka, Kempas, Johor Bahru, hari ini.

Bagi pengundi, Said Zhaidi, 27, pula berpandangan, prestasi wakil rakyat terdahulu masih memuaskan dan wajar diberi pertimbangan untuk terus menerima mandat baharu daripada pengundi.

Said memberitahu, beberapa penambahbaikan kemudahan awam serta bantuan kepada rakyat telah dilaksanakan, walaupun masih terdapat isu seperti kekurangan parkir di kawasan Perumahan Rakyat (PPR).

“Masalah parkir memang ada, tetapi saya nampak ada usaha untuk tambah ruang parkir walaupun mengambil masa. Dari segi bantuan dan program kepada rakyat pun saya berpuas hati.

“Bagaimanapun kos sara hidup kini lebih mencabar terutama kepada golongan muda yang sudah berkeluarga dan berharap lebih banyak bantuan disediakan untuk mereka,” katanya.

Muliana Rohani bercakap kepada MalaysiaGazette dalam tinjauan di Taman Dahlia, Kempas, Johor Bahru, hari ini.

Menurut Muliana Rohani, 48, kemudahan rekreasi di kawasan Taman Dahlia, Kempas masih tidak mencukupi meskipun dia menetap di kawasan itu selama lapan tahun.

Jelasnya, kawasan permainan sedia ada terlalu hampir dengan kawasan perumahan sehingga sering mengganggu penduduk, selain tidak mampu menampung aktiviti riadah kanak-kanak dan keluarga.

“Saya harap wakil rakyat yang baharu dapat menyediakan kawasan rekreasi yang lebih sesuai supaya anak-anak ada tempat bermain dan keluarga boleh beriadah dengan selesa,” katanya.

Noor Shela Malek bercakap kepada MalaysiaGazette dalam tinjauan di Taman Dahlia, Kempas, Johor Bahru, hari ini.

Dalam pada itu, seorang peniaga kecil, Noor Shela Malek, 34, berharap kerajaan dapat mempermudah proses permohonan lesen sementara untuk peniaga bermusim.

“Ramai yang berniaga mengikut musim. Kalau boleh mudahkan urusan mendapatkan lesen supaya kami dapat berniaga secara sah tanpa berdepan pelbagai kesukaran.

“Saya nak mengingatkan mana-mana calon yang menang nanti supaya tidak melupakan rakyat selepas dipilih, kalau boleh jangan menghilangkan diri,” katanya.

Muhammad Nazzery Hamsan bercakap kepada MalaysiaGazette dalam tinjauan di Taman Dahlia, Kempas, Johor Bahru, hari ini.

Seorang lagi peniaga tempatan, Muhammad Nazzery Hamsan, 41, pula berharap kerajaan memberi perhatian kepada peniaga tepi jalan yang berniaga secara bermusim.

Katanya, kerajaan boleh mempertimbangkan pemberian lesen khas walaupun lokasi perniagaan tidak berada di kawasan yang telah digazetkan.

“Selepas musim selesai kami tidak berniaga lagi. Jadi kalau boleh beri peluang kepada peniaga bermusim memohon lesen dan salurkan lebih banyak maklumat mengenai bantuan yang layak dipohon,” katanya.

Secara keseluruhannya, pengundi di Kempas mahukan wakil rakyat yang bukan sahaja aktif berkempen, malah mampu menyelesaikan isu asas seperti kemudahan kesihatan, infrastruktur, rekreasi, kebajikan peniaga serta kos sara hidup yang semakin meningkat demi meningkatkan kualiti hidup masyarakat setempat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast