GEORGE TOWN – “Nasib baik hari ini hujan, suami tidak duduk di laman rumah dan saya pula keluar makan malam dengan anak. Jika tidak, mungkin kami kehilangan nyawa.”
Demikian luah Amerjit Kaur, 82, selepas rumahnya jenis teres dua tingkat di Jalan Batu Gantung di sini, dihempap sebatang pokok dipercayai berusia lebih 150 tahun dalam kejadian malam tadi, yang turut menyebabkan suaminya terperangkap di dalam kediaman.
Jelas pesara kerajaan itu, dia menerima panggilan daripada suaminya berusia 83 tahun pada jam 7.52 malam memaklumkan kejadian pokok tumbang yang menyebabkan kerosakan teruk di kediaman mereka.
Katanya, beliau yang berada di luar ketika itu meminta suaminya kekal berada di dalam rumah sementara menghubungi bomba sebelum bergegas pulang.

“Sebaik tiba, kami mendapati kawasan laman rumah yang dijadikan parkir serta taman pokok bunga musnah, manakala pagar, pintu pagar, bumbung parkir dan tiga kenderaan turut mengalami kerosakan.
“Bagaimanapun, saya bersyukur kerana kebiasaannya kami berdua menghabiskan waktu petang di laman rumah, dengan suami berjalan di situ manakala saya menguruskan pokok bunga kegemaran yang ditanam.
“Syukur kepada Tuhan kami masih hidup. Jika anak perempuan saya tidak pulang dari ibu kota mungkin kami berdua berada di taman bersama sekali gus kehilangan nyawa akibat kejadian ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian.
Mengulas lanjut, Amerjit Kaur mendakwa suaminya serta jiran di kawasan perumahan itu sudah berkali-kali membuat aduan mengenai keadaan pokok berkenaan yang dikatakan berisiko, namun tiada tindakan sewajarnya diambil.
“Kami sudah banyak kali memaklumkan pokok ini perlu dipotong kerana akarnya sudah reput, namun pihak MBPP hanya datang melakukan pemangkasan dahan dan ranting tanpa tindakan menyeluruh diambil.
“Kini apa yang dibimbangi telah berlaku, dan siapa yang akan bertanggungjawab? Lebih mengecewakan, tiada kelibat ADUN mahupun pihak atasan MBPP di lokasi kejadian walaupun kami warga emas terkesan teruk akibat kejadian ini.
“Kami mahu kerajaan negeri dan MBPP mengambil tanggungjawab terhadap apa yang berlaku serta membayar ganti rugi atas semua kerosakan,” katanya.

Sementara itu, anak kepada Amerjit Kaur, Parveen Sidhu, 49, berkata, ibu bapanya telah menetap di kediaman itu sejak tahun 1985 dan keadaan rumah ketika ini masih tidak selamat untuk didiami selagi kerja-kerja pembaikan tidak dilakukan sepenuhnya.
Beliau turut meluahkan kekecewaan kerana aduan berkaitan pokok berkenaan sudah beberapa kali dikemukakan, namun mendakwa tiada tindakan sewajarnya diambil, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai aspek keselamatan dan kebajikan ibu bapanya.
“Jika saya tidak pulang minggu ini, saya tidak tahu siapa yang akan membantu mereka. Ibu saya sudah berusia 80-an dan mereka sangat sedih dengan kejadian ini kerana kebimbangan mengenai pokok ini sudah lama disuarakan.
“Saya mahu MBPP membaiki kerosakan di rumah kerana ibu bapa dalam tempoh seminggu,” tegasnya.
Dalam pada itu, penyelia Caring Retirement Home, S. Gayathri, 36, berkata, pusat jagaan warga emas itu terselamat meskipun pokok berkenaan terletak di hadapan premis tersebut.

“Syukur tiada kerosakan pada pusat jagaan ini, jika tidak bayangkan nasib 13 penghuni berusia antara 65 hingga 90 tahun di sini.
“Kejadian ini sebenarnya sudah dijangka kerana kami sering membuat aduan kepada MBPP. Bagaimanapun, pihak MBPP hanya datang melakukan pemangkasan ranting dan dahan kira-kira setiap enam bulan sekali, dan itu pun selepas kami membuat panggilan dan memaklumkan,” katanya. – MalaysiaGazette
















