Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Mohd Azli Salim (5 dari kanan) bersama Saintis Malaysia yang akan ke China bergambar kenangan bersama dengan Menteri MOSTI, YB Datuk Chang Lih Kang.

KUALA LUMPUR – Seorang penyelidik Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) mencipta pencapaian membanggakan apabila terpilih antara 10 saintis muda terbaik Malaysia untuk menyertai Program Malaysia-China Science and Technology People-to-People Exchange Programme 2025 yang dianjurkan Akademi Sains Malaysia (ASM) dengan sokongan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Mohd Azli Salim berjaya memperoleh tempat dalam program berprestij itu selepas melalui proses pemilihan yang ketat melibatkan penilaian proposal penyelidikan dan sesi temuduga bersama panel pakar daripada ASM, MOSTI serta wakil industri.

Kejayaan itu melayakkan beliau menerima geran penyelidikan bernilai RM72,000 dan menjalani penempatan penyelidikan selama enam bulan di National Center of International Research for Hybrid Materials Technology, College of Materials Science and Engineering, Qingdao University, Shandong, China bermula 13 Julai 2026 hingga 8 Januari 2027.

Penyelidikan yang bakal dijalankan bertajuk Development and Characterisation of Graphene-Based Conductive Inks and Flexible Sensors for Wearable Applications dalam bidang bahan termaju dan nanoteknologi.

Kajian itu memberi fokus kepada pembangunan dakwat konduktif berasaskan graphene dan sensor fleksibel untuk aplikasi peranti boleh pakai elektronik fleksibel, tekstil pintar serta Internet of Things (IoT).

Mohd Azli berkata, penyelidikan berkenaan berpotensi menghasilkan teknologi baharu yang lebih fleksibel, tahan lasak dan mesra alam bagi memenuhi keperluan industri elektronik generasi akan datang.

“Penyelidikan ini akan memberi tumpuan kepada pembangunan formulasi dakwat konduktif graphene yang mempunyai kekonduksian tinggi serta mampu beroperasi dalam keadaan lenturan dan regangan berulang.

“Selain penghasilan prototaip sensor fleksibel, kajian ini juga dijangka menghasilkan penerbitan jurnal berimpak tinggi, potensi pemfailan paten bersama serta membuka ruang kepada kerjasama penyelidikan strategik antara Malaysia dan China,” katanya.

Sementara itu, Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, pemilihan Mohd Azli membuktikan keupayaan penyelidik universiti itu untuk bersaing dan mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa.

“UTeM amat berbangga dengan kejayaan Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Mohd Azli Salim yang terpilih dalam kalangan 10 saintis muda terbaik negara bagi program ini.

“Pencapaian ini membuktikan kecemerlangan penyelidik UTeM dalam bidang teknologi termaju dan penyelidikan berimpak tinggi, sekali gus mengukuhkan kedudukan universiti sebagai institusi TVET dan teknologi yang aktif meneroka kerjasama penyelidikan global,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast