ISKANDAR PUTER – Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan menyambut secara sinis kenyataan Timbalan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming yang sanggup melepaskan jawatan menteri jika BN menang pilihan raya negeri (PRN) sehingga membawa kepada pembebasan Datuk Seri Najib Tun Razak.
Ahmad yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) berkata, BN tidak mempunyai masalah sekiranya mana-mana menteri mengambil keputusan sedemikian.
“Silakan. Kalau lagi ramai yang hendak letak jawatan, lagi bagus kerana kita ada beratus-ratus orang yang bersedia menggantikan mereka. Kalau susah sangat, saya pun adalah calon menteri penuh,” katanya berseloroh.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sesi walkabout bersama calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad, di Pasar Tani Taman Nusantara, Gelang Patah, di sini hari ini.
Sebelum ini, dalam temu bual eksklusif bersama Oriental Daily, Kor Mong yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan dilaporkan berkata, DAP tidak menolak kemungkinan menarik diri daripada kerajaan Perpaduan sekiranya BN memenangi PRN Johor sehingga membawa kepada pembebasan awal Najib, yang disifatkannya sebagai ‘garis merah’ parti itu.
Menurut Kor Ming, UMNO Johor sudah beberapa kali menyuarakan secara terbuka hasrat supaya Najib dibebaskan lebih awal.
“‘UMNO menang besar, Najib pulang ke rumah’ memang merupakan agenda UMNO. Kita semua tidak perlu berpura-pura tidak tahu dan menipu diri sendiri. Ini adalah satu fakta yang pasti.
“Terus terang cakap, jika benar-benar Najib dibebaskan hari ini tanpa sebarang kesalahan, saya akan menjadi orang pertama meletak jawatan,” katanya seperti dipetik dalam temu bual itu.
Ahmad bagaimanapun tidak mengulas dakwaan yang dibangkitkan Kor Ming, sebaliknya menegaskan tumpuan BN ketika ini adalah mendapatkan mandat rakyat bagi membentuk kerajaan negeri yang stabil serta meneruskan agenda pembangunan dan kebajikan rakyat.
Beliau berkata, seluruh jentera BN kini memberi tumpuan kepada kempen di kesemua 56 kerusi DUN dengan menawarkan calon yang berpengalaman, berwibawa dan mempunyai rekod perkhidmatan yang baik.
Menurutnya, keyakinan rakyat terhadap calon-calon BN akan menjadi penentu kepada kejayaan parti itu pada hari pengundian nanti.- MalaysiaGazette
















