LUMUT – Seramai 10 nelayan tempatan ditahan dalam Operasi Bersepadu yang dilaksanakan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di perairan Pulau Pangkor semalam.
Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata, operasi yang berlangsung dari jam 8.30 pagi hingga 2 petang itu memberi tumpuan kepada pemeriksaan serta saringan air kencing terhadap nelayan yang dikenal pasti.
Menurut beliau, operasi berkenaan dijalankan secara berkala bagi membanteras penyalahgunaan dadah dalam kalangan komuniti nelayan di perairan negeri itu.
“Operasi ini melibatkan tujuh anggota Maritim Malaysia dan lima pegawai AADK menggunakan dua aset laut hasil risikan serta pemantauan berterusan sejak awal tahun ini.
“Hasil operasi, seramai 10 warga tempatan berusia antara 30 hingga 70 tahun disyaki terlibat dalam penagihan dadah berjaya ditahan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kesemua suspek telah diserahkan kepada pihak AADK untuk siasatan lanjut.
Menurutnya, operasi bersepadu itu turut mengukuhkan kerjasama antara Maritim Malaysia dan AADK dalam melaksanakan tugas penguatkuasaan.
Katanya, kerjasama strategik antara kedua-dua agensi akan diteruskan secara berkala bagi memperkukuh usaha pencegahan dadah serta meningkatkan kesedaran komuniti nelayan terhadap kepentingan gaya hidup sihat dan bebas dadah.
Beliau menegaskan Maritim Malaysia akan terus menjalin kerjasama rentas agensi bagi memastikan kawasan perairan negara kekal selamat dan komuniti maritim tidak terjebak dengan aktiviti yang menyalahi undang-undang. – MalaysiaGazette
















