KUALA LUMPUR – Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) bersetuju bahawa semua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menerima sumbangan orang ramai, perlu melaksanakan audit kewangan tahunan.
Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Ir. Kamal Nasharuddin Mustapha berkata, tindakan itu termasuk memberi perhatian yang tinggi terhadap aspek integriti, akauntabiliti dan tatakelola pengurusan akaun masing-masing.
Sehubungan itu, MyCARe menyokong penubuhan Suruhanjaya Kebajikan (Charities Commission) bagi memastikan aspek pemantauan dan kawal selia dana awam yang diuruskan NGO, ditambah baik.
“Ia syarat utama bagi mengekalkan kepercayaan masyarakat terhadap setiap ringgit yang diamanahkan,” ujarnya dalam kenyataan.
Baru-baru ini, Timbalan Pengarah Bahagian Siasatan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Yuhafiz Mohd Salleh menegaskan bahawa integriti, akauntabiliti serta audit berkala bukan lagi pilihan kepada NGO.
Kamal Nasharuddin selanjutnya berkata, MyCARE sebelum ini pernah mencadangkan kepada pihak berwajib berkaitan Suruhanjaya Kebajikan seperti yang dipraktikan di United Kingdom, Australia dan Qatar.
Ujarnya, MyCARE pernah terlibat dalam Persidangan Meja Bulat anjuran Yayasan Kebajikan Negara (YKN) di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) pada 2019.
Kata beliau, antara resolusi persidangan tersebut ialah mewujudkan satu jawatankuasa untuk menilai cadangan penubuhan Suruhanjaya Kebajikan.
“Resolusi itu wajar disemak semula untuk menyelaras, memantau dan mengawal selia NGO yang mengutip sumbangan daripada orang awam.
“MyCARE bersedia untuk membantu kerajaan dalam merangka dan merealisasikan penubuhan suruhanjaya ini,” katanya. – MalaysiaGazette
















