KUALA LUMPUR – Parti Wawasan Negara (Wawasan) menegaskan perlunya pelan bagi menghadapi tekanan harga minyak perlu diwujudkan bagi membolehkan rakyat menyemak sendiri formula yang digunakan di stesen-stesen minyak.
Naib presidennya, Datuk Mohd. Omar Mustapha berkata, langkah itu penting bagi meningkatkan ketelusan pengurusan subsidi bahan api dan meleraikan persoalan mengenai kemungkinan pengguna membayar lebih.
Menurut beliau, pendekatan itu dapat dilakukan dengan mewujudkan kaedah pengiraan penuh Mekanisme Harga Automatik (APM) bahan api, penyata subsidi bulanan serta data berkaitan pelaksanaan kuota diesel.
Ujarnya bekas Ahli Lembaga Pengarah Petronas, jika ketiga-tiga dokumen itu menunjukkan tiada lebihan kutipan, kerajaan terbukti benar dan keyakinan rakyat bertambah.
Jelas Mohd. Omar, kerajaan sudah pun menerbitkan harga runcit mingguan di portal data terbuka negara dan kini ia turut merangkumi harga bersubsidi.
“Kami meminta separuh lagi: kiraan di sebalik harga itu. Nyatakan harga rujukan pasaran pukal (MOPS), kadar pertukaran mata wang, margin dan sebarang komponen cukai, subsidi atau pampasan.
“Jadi sesiapa sahaja yang mempunyai kalkulator boleh menyemak sendiri sama ada harga pam menyamai harga formula.
“Negara menjadi lemah apabila beban kos yang ditanggung rakyat itu kelihatan samar-samar,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Mohd. Omar menyatakan demikian ketika menjelaskan persoalan yang dibangkitkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin di Dewan Rakyat kelmarin berhubung kenyataannya `Jangan biarkan rakyat mensubsidi kerajaan’.
Pada sidang media di Parlimen, Hamzah menggesa kerajaan mendedahkan secara terperinci data penggunaan subsidi petrol bagi menjelaskan rasional pengurangan had subsidi daripada 300 liter kepada 200 liter.
Mohd. Omar selanjutnya berkata, persoalan Hamzah bukan berbentuk tuduhan sebaliknya saranan yang hanya boleh disahkan melalui pendedahan data rasmi kerajaan.
Jelas beliau, harga minyak tanpa subsidi ditentukan melalui formula harga mingguan, harga rujukan produk petroleum di pasaran pukal, kadar pertukaran mata wang dan margin peruncit yang dibenarkan.
“Jika harga di pam sama dengan harga formula, rakyat membayar harga formula. Jika harga di pam ditetapkan lebih tinggi daripada harga formula, wujud lebihan kutipan.
“Lebihan itu semestinya jatuh ke salah satu daripada tiga tangan: kerajaan, syarikat minyak, atau mekanisme pampasan yang ditetapkan kerajaan.
“Saya berkhidmat bertahun-tahun di lembaga pengarah Petronas. Saya yakin kiraan ini bukan terlalu rumit untuk difahami rakyat. Ia cuma belum pernah diwajibkan diterbitkan untuk tatapan umum.
“Saya mahu kerajaan benar-benar berterus terang. Berapa jumlah kenderaan yang didaftarkan di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berapa motosikal, berapa kereta dan berapa lori. Barulah rakyat boleh melihat berapa peratus sebenar yang menggunakan subsidi minyak ini,” ujarnya.
Mengenai Penyata Subsidi Bahan Api bulanan, beliau mahu kerajaan menyatakan kos sebenar terkait sumber pembiayaan seperti hasil petroleum, cukai umum atau pinjaman.
Bagi pelaksanaan data kuota dan kesannya kepada pengguna, beliau mendakwa kerajaan cuma memetik angkanya sendiri dengan menyatakan sebanyak 90 peratus pengguna tidak melebihi 200 liter dan 95 peratus pengguna diesel tidak melebihi 300 liter.
“Bentangkan taburannya berapa ramai yang melebihi kuota, berapa ramai yang diluluskan kuota tambahan dan berapa ramai petani, penjaja, pengangkut kecil dan penduduk luar bandar yang terpaksa membayar harga pasaran setelah kuota mereka habis,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















