Orang ramai hadir pada Majlis Ramah Mesra Masyarakat Kaum India sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 di Perling, Johor Bahru. Foto FAREEZ FADZIL, 04 JULAI 2026.

JOHOR BAHRU – Gelombang biru mewarnai Perling di sini apabila masyarakat India membanjiri Majlis Ramah Mesra Kaum India bersama Presiden Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada malam ini bagi menyemarakkan lagi kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Perling Mall yang menjadi lokasi program dipenuhi seawal 6 petang dan laungan ‘Hidup Barisan’ dan ‘Maju Bangsa Johor’ bergema sebaik ketibaan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang hadir dan meluangkan masa beramah mesra serta bersalaman dengan orang ramai.

Namun di sebalik kemeriahan program itu, tumpuan pengundi yang ditemui MalaysiaGazette lebih terarah kepada isu yang memberi kesan langsung kepada kehidupan mereka berbanding retorik politik sepanjang kempen.

Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bersalaman ketika hadir pada Majlis Ramah Mesra Masyarakat Kaum India sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 di Perling, Johor Bahru. Foto FAREEZ FADZIL, 04 JULAI 2026.

Bagi mereka, wakil rakyat yang dipilih perlu dinilai berdasarkan rekod perkhidmatan dan keupayaan mengotakan janji bukan sekadar menawarkan manifesto ketika musim pilihan raya.

Selain kos sara hidup yang terus menjadi perhatian, isu peluang pekerjaan untuk golongan muda, pendidikan, pembangunan sekolah Tamil, kemudahan rumah ibadat, penyediaan tapak krematorium serta penyelesaian masalah infrastruktur setempat antara perkara yang diharapkan dapat diberikan perhatian oleh kerajaan negeri selepas PRN.

Penduduk, Anjali Devi Meecan, 60 pada Majlis Ramah Mesra Masyarakat Kaum India sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 di Perling, Johor Bahru. Foto FAREEZ FADZIL, 04 JULAI 2026.

Bagi pesara, Anjali Devi Meecan, 60, penduduk Perling masih mengharapkan beberapa isu setempat yang telah lama dibangkitkan dapat diselesaikan.

Menurutnya, terdapat beberapa perkara membabitkan kemudahan komuniti yang sehingga kini masih belum menunjukkan perkembangan walaupun pernah dijanjikan penyelesaiannya.

“Saya harap kali ini janji benar-benar dikotakan. Apa yang rakyat mahu ialah tindakan, bukan sekadar janji,” katanya.

Sementara itu, pengundi DUN Bukit Batu, Puguniswary Perumal, 47, berkata kerajaan negeri selepas PRN perlu memberi perhatian terhadap isu penyediaan tapak krematorium masyarakat India, rumah ibadat, sekolah Tamil serta masalah kesesakan lalu lintas di laluan utama termasuk Jalan Kulai.

Katanya, pembangunan perlu dinikmati semua rakyat tanpa mengira kaum, selain memastikan setiap komitmen yang dibuat kepada penduduk dilaksanakan.

Penduduk, Puguniswary Perumal, 47 pada Majlis Ramah Mesra Masyarakat Kaum India sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 di Perling, Johor Bahru. Foto FAREEZ FADZIL, 04 JULAI 2026.

“Siapa pun yang dipilih nanti perlu membantu semua kaum. Yang penting, janji mesti ditunaikan,” katanya.

Bagi pengundi muda, Pavithra Subramaniam, 23, beliau berharap lebih ramai belia memahami bahawa mengundi adalah hak dan tanggungjawab dalam menentukan masa depan negeri.

Katanya, golongan muda perlu menilai prestasi sesebuah kerajaan berdasarkan pelaksanaan dasar dan bantuan yang diberikan kepada rakyat, khususnya dalam bidang pendidikan dan kebajikan.

Penduduk, Pavithra Subramaniam, 23 pada Majlis Ramah Mesra Masyarakat Kaum India sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 di Perling, Johor Bahru. Foto FAREEZ FADZIL, 04 JULAI 2026.

“Saya berharap lebih ramai anak muda keluar mengundi. Apa sahaja manifesto yang dijanjikan perlu dilaksanakan supaya rakyat benar-benar merasai manfaatnya,” katanya.

Seorang lagi pengundi muda, Krishnan Nagalingam, 28, pula berharap kerajaan negeri memberi keutamaan kepada penyediaan lebih banyak peluang pekerjaan bagi mengurangkan kadar pengangguran, terutama dalam kalangan belia.

Beliau turut mengingatkan agar keharmonian masyarakat berbilang kaum yang sekian lama menjadi identiti Johor terus dipelihara tanpa dipengaruhi sentimen perkauman.

“Sebagai orang muda, saya mahu kita hidup aman seperti dahulu. Terlalu banyak isu perkauman dipolitikkan sejak kebelakangan ini dan keadaan itu mengecewakan. Apa yang rakyat perlukan ialah peluang pekerjaan, perpaduan dan pemimpin yang benar-benar bekerja untuk semua,” katanya.

Penduduk, Krishnan Nagalingam, 28 pada Majlis Ramah Mesra Masyarakat Kaum India sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 di Perling, Johor Bahru. Foto FAREEZ FADZIL, 04 JULAI 2026.

Menjelang hari pengundian, suara yang dizahirkan pengundi masyarakat India di Perling jelas memperlihatkan mereka bukan sekadar menilai kemeriahan kempen sebaliknya meletakkan harapan kepada wakil rakyat yang mampu mendengar keluhan, mengotakan janji dan membawa penyelesaian terhadap isu yang dekat dengan kehidupan seharian. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast