JOHOR BAHRU – Golongan muda dijangka menjadi penentu utama keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor memandangkan hampir 60 peratus daripada keseluruhan pengundi di negeri itu berusia bawah 40 tahun, kata Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK), Danish Hairudin.
Beliau berkata, atas faktor itu, Pakatan Harapan (PH) menyusun manifesto yang memberi penekanan kepada isu yang benar-benar dirasai rakyat terutama kos sara hidup, peluang pekerjaan dan kebajikan.
Menurutnya, manifesto bertemakan ‘Johor Untuk Semua’ yang mengandungi 10 tekad itu dirangka bagi memenuhi keperluan pelbagai lapisan masyarakat, daripada bayi yang baru dilahirkan sehinggalah warga emas, termasuk golongan petani dan pekerja.
“Kita tidak boleh lari daripada realiti bahawa hampir 60 peratus pengundi Johor terdiri daripada anak muda. Jadi isu yang paling dekat dengan mereka ialah peluang pekerjaan, kos sara hidup dan masa depan ekonomi negeri.
“Sebab itu manifesto yang kita bentangkan memberi fokus kepada perkara yang dekat dengan poket rakyat dan menyentuh kehidupan seharian mereka,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di sini hari ini.

Mengulas mengenai landskap PRN Johor kali ini, Danish berkata situasinya jauh berbeza berbanding pilihan raya negeri pada 2022 yang berlangsung dalam suasana negara baru keluar daripada pandemik COVID-19 serta berdepan tekanan ekonomi.
Katanya, kali ini pertandingan turut melibatkan parti-parti yang bersama membentuk Kerajaan Persekutuan, menjadikan kempen berlangsung dalam suasana lebih matang walaupun persaingan semakin sengit.
“PRN kali ini adalah medan demokrasi yang berbeza. Kita bertanding dengan parti yang turut bersama dalam Kerajaan Persekutuan, tetapi setiap parti tetap menawarkan idea dan penyelesaian terbaik kepada rakyat Johor,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata parti Keadilan turut memberi peluang kepada lebih ramai calon muda bertanding pada PRN kali ini sebagai usaha membawa nafas baharu dalam politik negeri.
Katanya, seramai lima calon muda daripada pelbagai latar belakang termasuk wanita, masyarakat Cina dan India diketengahkan, selain mempertaruhkan calon berusia 23 tahun di DUN Johor Lama.
“Kita mahu tampilkan generasi baharu yang mempunyai idea segar dan mampu mewakili aspirasi anak muda, bukannya hanya bergantung kepada calon yang sama setiap kali pilihan raya.
“Ini membuktikan keadilan dan PH serius memberi ruang kepada kepimpinan pelapis untuk membawa perubahan,” katanya lagi.
Beliau pada masa sama menggesa rakyat Johor keluar mengundi pada 11 Julai ini bagi memastikan mandat yang diberikan benar-benar mencerminkan kehendak semua lapisan masyarakat. -MalaysiaGazette
















