Fazley kini semakan rapat dengan usahawan popular, Datuk Seri Vida.

KUALA LUMPUR – Penyanyi, Datuk Fazley Yaakob menyelar sikap segelintir individu yang didakwa gemar mempertikaikan kebahagiaan orang lain sebaliknya perlu mendoakan yang terbaik.

Dia yang juga cef berkata, bersikap iri hati terhadap kegembiraan insan lain menunjukkan golongan itu tidak bahagia dengan kehidupannya.

“Bila kita sendiri kurang bahagia, tak perlulah bitter dengan kebahagiaan orang lain. Mendoakan kebahagiaan orang lain adalah lebih mulia daripada mencari cacat cela seseorang.

“Sifat sebenar dan isi hati seseorang sangat mudah dinilai dengan adanya media sosial,” katanya menerusi hantaran di Threads di sini hari ini.

Fazley bagaimanapun tidak menjelaskan punca sebenar hantaran berkenaan dimuat naik.

Namun kenyataan itu dipercayai mempunyai kaitan dengan hubungan rapatnya bersama usahawan popular, Datuk Seri Vida yang sejak kebelakangan ini menjadi bualan ramai.

Keterbukaan Fazley berkongsi kemesraan bersama Vida mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan netizen sehingga ada yang mendoakan hubungan mereka berkekalan dan tidak sabar melihat pasangan itu mendirikan rumah tangga.

Bagaimanapun, tidak kurang juga yang mempersoalkan keikhlasan Fazley, malah mendakwa kemesraan dipamerkan sekadar gimik pemasaran.

Namun tindakan Fazley memanggil Vida dengan panggilan manja seperti sayang turut mengundang rasa meluat segelintir netizen yang menganggap ia keterlaluan.

Untuk rekod, Fazley, 48, dan Azrene Soraya Abdul Aziz pernah mendirikan rumah tangga pada 2006 dan dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu Ahmad Fariedz Shah, 17, Ahmad Fieradz Shah, 16, Ahmad Fierudz Shah, 15, serta Alayna Selma kini berusia 9 tahun.

Pasangan itu sah bercerai pada Oktober 2024 selepas penyanyi tersebut memfailkan perceraian beberapa bulan sebelumnya.

Vida, 54, atau nama sebenarnya, Hasmiza Othman pula pernah berkahwin dengan Mohd Amin pada tahun 2000 dan bercerai pada 2008.

Hasil perkahwinan itu, pasangan ini dikurniakan empat cahaya mata namun anak pertama dan kedua meninggal dunia dalam tragedi kebakaran di rumah Ipoh, Perak pada tanggal 3 Ogos 2013. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast