KUALA LUMPUR – Seorang pempengaruh media sosial menyifatkan propaganda yang menggunakan naratif `BN menang Johor – Najib bebas’, sebagai tidak tepat.
Lim Sian See atau Eric Se-To yang juga pengkritik kerajaan berkata, kuasa penjara, parol, remisi dan pelaksanaan hukuman bukan di bawah Kerajaan Negeri Johor, sebaliknya bidang kuasa Persekutuan.
“Jadi, kalau ada yang kata Najib akan bebas semata-mata kerana BN menang PRN Johor, itu memang mengarut.
“Maka naratif `BN menang Johor – Najib bebas’ hanyalah propaganda bodow (bodoh). Kerajaan Johor tiada kuasa buka pintu penjara.
“ Najib hanya boleh bebas melalui proses undang-undang sedia ada – tamat hukuman, remisi/parol jika layak, keputusan mahkamah, atau proses pengampunan,” ujarnya menerusi hantaran dalam laman sosial Facebook hari ini.
Media melaporkan, anak bekas Perdana Menteri, Datuk Nazifuddin mendakwa, kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebagai isyarat rakyat mahu bapanya diampun.
Bagaimanapun, Timbalan Setiausaha Agung PKR, Sivamalar Genapathy menegaskan, pilihan raya bukan referendum untuk menentukan nasib mana-mana individu.
Ujar Sian See, kalau mereka betul-betul percaya kemenangan BN di Johor boleh bebaskan Najib, maksudnya mereka sendiri sedang mengaku kerajaan Madani di Putrajaya sudah tiada kuasa.
Ujarnya, lagipun BN sudah lama mempunyai majoriti dua pertiga di Johor sejak tahun 2022.
“Sepanjang tempoh itu, ada Najib dibebaskan? Takde. Jadi, pakai otak lah!’ ujarnya. – MalaysiaGazette
















