LONDON – Manchester United kini giat mencari pemain tengah baharu selepas gagal mendapatkan Mateus Fernandes yang memilih menyertai Tottenham Hotspur dalam perpindahan bernilai sekitar £85 juta.
Sky Sports melaporkan, antara nama yang berada dalam senarai utama kelab ketika ini ialah Aurelien Tchouameni dari Real Madrid dan Alex Scott dari Bournemouth.
Namun begitu usaha untuk mendapatkan kedua-dua pemain itu dijangka bukan sesuatu yang mudah.
“Buat Tchouameni, situasinya bergantung kepada perancangan Real Madrid yang sedang menyusun semula barisan tengah mereka.
“Meskipun kelab itu dilaporkan tidak akan meneruskan usaha mendapatkan Enzo Fernández dan masih mahu mengekalkan Rodri sebagai sasaran utama, beberapa laporan di Sepanyol mendakwa Madrid lebih terbuka untuk melepaskan Eduardo Camavinga sekiranya perlu mengurangkan jumlah pemain tengah,” kata laporan itu.
Pada masa sama, Scott turut kekal sebagai sasaran utama Manchester United biarpun Bournemouth bertegas tidak mahu melepaskan pemain penting mereka dan kini sedang berusaha menawarkan kontrak baharu kepada Scott.
Arsenal juga dikatakan berminat mendapatkan khidmat pemain berusia 22 tahun itu, sekali gus menambah saingan buat United.
Selain Tchouaméni dan Scott, United turut mempertimbangkan beberapa pilihan lain seperti Felix Nmecha dari Borussia Dortmund, Ayyoub Bouaddi dari Lille serta Sander Berge dari Fulham. – Agensi
















