KUALA LUMPUR – Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) melahirkan kebimbangan berhubung pelantikan Tan Sri Azam Baki sebagai Penasihat Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC).
Ketua Penerangannya, Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu terpalit dengan pelbagai kontroversi berkaitan isu tatakelola dan integriti.
Ujarnya, parti itu khuatir kerana individu yang mempunyai isu integriti menasihatkan agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang menguruskan isu jenayah kewangan.
Sehubungan itu, Pejuang menyifatkan tindakan pihak-pihak mempertikai pelantikan Azam adalah munasabah.
“Apa jadi pada siasatan bebas atas isu pemilkan saham? Apa jadi pada isu mafia korporat? Bukankah ia babitkan masalah serius tentang kewangan?
“Tidakkah lojik bila rakyat persoal? Bagaimana pelantikan itu dinasihatkan bila mana individu tersebut terbabit dalam pelbagai isu libatkan kewangan?” ujar beliau dalam kenyataan menerusi laman Facebook.

Terdahulu, media melaporkan pelantikan Azam sebagai ahli Lembaga penasihat dalam NFCC atas kapasiti individu bermula 20 September 2024 hingga 19 September 2027 bagi tempoh tiga tahun.
Muhammad Rafique selanjutnya menyatakan, rakyat tidak mempersoal kuasa Yang di-Pertuan Agong (YDPA) melantiknya, namun beliau membangkitkan isu siapa yang menasihati Baginda berhubung pelantikan tersebut.
Jelas beliau, Seksyen 5(2)(c) Akta Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional 2009(Akta 822) menyatakan pelantikan tersebut dilakukan atas nasihat Perdana Menteri.
“Yang peliknya Perdana Menteri letakkan segalanya atas Tuanku YDPA. Itu alih tiang gol. Itu lepas tangan.
“Perlembagaan dan undang-undang jelas. Nasihat Perdana Menteri mesti diikuti oleh Tuanku YDPA. Tiada alasan yang Anwar Ibrahim boleh lepas tangan. – MalaysiaGazette
















